Belanjawan 2020: Kementerian Luar harap bajet lebih besar

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar berharap dapat menerima peruntukan yang lebih besar berbanding tahun lalu dalam Belanjawan 2020 nanti.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, menerusi bajet tambahan tersebut Wisma Putra mahu menggerakkan program pensarjanaan dalam kalangan kakitangannya bagi melahirkan diplomat kelas dunia.

"Sudah tentu kita berharap untuk dapat lebih peruntukan berbanding tahun sebelumnya.

"Kalau ada bajet itu, kita boleh bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan supaya pegawai kita dapat melanjutkan pelajaran secara separuh masa di peringkat doktor falsafah (PhD) dan sarjana.

"Pada ketika ini, Wisma Putra mempunyai kira-kira 500 pegawai dan daripada jumlah itu hanya lima hingga tujuh pegawai yang mempunyai PhD," katanya pada sesi bersama media mengenai Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2019 tahun lalu, Kementerian Luar menerima peruntukan hampir RM800 juta.

Katanya, dengan peruntukan tambahan itu, Wisma Putra berharap dapat meningkatkan kebajikan pegawainya di luar negara.

Katanya, antara yang perlu diberi keutamaan termasuklah penyelenggaraan kuarters pegawai yang rosak.

Artikel Berkaitan:

"Jangan terkejut di Perancis kita pernah kena saman sebab rumah pegawai kita yang bocor masuk ke rumah orang lain.

"Kita juga menyelenggara kenderaan-kenderaan di luar negara.

"Perkara-perkara ini mungkin kelihatan remeh tetapi perlu diselesaikan kerana ia boleh menjejaskan fokus kerja pegawai," katanya.