X

Kindly register in order to view this article
!

LPP nafi terlibat Konvensyen Peladang 2019

Mazlan (dua dari kanan) dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi melihat surat undangan Konvensyen Peladang 2019 yang diedarkan kepada semua PPN baru-baru ini.
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menafikan terlibat dalam penganjuran Konvensyen Peladang 2019 yang akan dianjurkan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) pada Sabtu ini.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, LPP tidak pernah memberi kelulusan kepada Pasfa seperti dinyatakan dalam surat undangan yang diedar kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).

Menurutnya, Pasfa tidak mempunyai autoriti untuk menganjurkan sebarang konvensyen kerana mereka merupakan sebuah agensi di bawah LPP.

"Lebih mengejutkan Pasfa telah mengedarkan surat undangan kepada semua PPN dan meminta mereka menaja peserta yang akan menyertai konvensyen berkenaan.

"Situasi ini akan menyebabkan berlaku penyalahgunaan dana sekiranya ada PPN yang ingkar dan menaja ahli mereka ke konvensyen berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, beliau juga kecewa dengan kekacauan yang berlaku pada Mesyuarat Agung Tahunan PPN Kedah pada 26 September lalu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pemilihan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Kedah sesi 2019-2021 tidak dapat dijalankan.

"Kita sedar terdapat segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 [P.U.(A) 115/2019] yang telah diwartakan pada 1 Mei lalu dan cuba menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat peladang.

"Namun, peraturan tersebut telah diwartakan dan tiada perubahan akan berlaku," katanya.

Beliau berkata, dalam masa yang sama kerajaan berusaha melakukan reformasi melalui Hala Tuju Sektor Pertanian yang dibentangkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub pada 14 Februari lalu.

"Meskipun kita meraikan kebebasan bersuara dan hak asasi, ia bukan lesen untuk menimbulkan ketidakstabilan yang pastinya memberi kesan kepada usaha membangun dan meningkatkan pendapatan kepada 920,000 peladang di seluruh Malaysia," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!