'Lantik Anwar menteri kanan dahulu, bukannya PM'

Anwar
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinilai layak untuk menjawat jawatan sebagai menteri kanan pada ketika ini berbanding melantik beliau sebagai Perdana Menteri serta-merta.

Pengerusi Majlis Eksekutif Kelab Bunga Raya, Muzzammil Ismail berkata, kredibiliti dan kepakaran Anwar mampu menjawat jawatan berkenaan memandangkan beliau sebelum ini merupakan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

“Tidak perlu lantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri serta-merta. Tidak perlu menambah defisit kepercayaan rakyat. Sebaliknya Tun Dr Mahathir Mohamad boleh berbesar hati melantik Anwar sebagai menteri kanan sehingga akhir penggal.

“Beliau calon yang paling layak kerana pernah menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini. Semua pihak perlu lebih matang dan meletakkan agenda pemulihan kerajaan sebagai perkara besar,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau yang juga merupakan Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berkata, jika Dr Mahathir boleh berlapang dada memberikan jawatan Menteri Kanan kepadanya, maka Anwar boleh memberi timbal balik positif dengan menggugurkan permintaan dan harapan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Anwar berjiwa besar dan kita percaya beliau sudah pasti tidak mahu melihat polemik di mana rakyat menganggap pemimpin kerajaan sedang bergaduh berebut kuasa berbanding menonjolkan prestasi terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas gesaan bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali, yang mendesak peralihan kuasa pentadbiran negara dilakukan segera Muzammil berkata, ucapan berkenaan lebih bersifat menghasut yang berkecenderungan membunuh masa depan Anwar.

Muzammil
Muzammil

“Status peralihan kuasa pentadbiran negara seperti yang disebut-sebut pihak tertentu semakin penuh dengan toksik dan liabiliti kepada pengukuhan politik PH (Pakatan Harapan),” katanya.

Sabtu lalu, Syed Husin mendakwa hasrat Dr Mahathir untuk berundur daripada jawatan Perdana Menteri sekurang-kurangnya tiga tahun lagi akan membunuh PH kerana Anwar tidak mempunyai masa mencukupi untuk berkempen dan mengatur sebarang rancangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq jawab tuduhan Syed Husin terhadap Tun M

Beliau dilapor berkata, kenyataan Dr Mahathir dalam dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York baru-baru ini, menyebabkan beliau secara peribadi tidak mempercayai Dr Mahathir.

Ketua Pemuda Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kemudiannya membidas kenyataan Syed Husin sambil menyifatkan kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan terpesong daripada keputusan Majlis Presiden PH.

Ini kerana katanya, tiada langsung tempoh dua tahun ditetapkan bagi peralihan jawatan Perdana Menteri dinyatakan dalam dokumen ditandatangani Majlis Presiden PH.

Malah katanya, Dr Mahathir perlu diberikan ruang untuk mentadbir negara dan berundur secara terhormat kerana beliau dipilih oleh rakyat sebaliknya bukan sentiasa menggesa supaya Ahli Parlimen Langkawi itu melepaskan jawatannya secepat mungkin.