Langkah kemas Penang Black Panthers

Pemain Penang Black Panthers meraikan kejayaan menundukkan PDRM Defenders pada minggu keempat STL 2019 di Spice Arena Sabtu lalu.
Pemain Penang Black Panthers meraikan kejayaan menundukkan PDRM Defenders pada minggu keempat STL 2019 di Spice Arena Sabtu lalu.
A
A
A

PENANG Black Panthers tidak mahu terlalu memikirkan kedudukan selaku peneraju Liga Sepak Takraw (STL) 2019, sebaliknya tekad mengekalkan momentum kemenangan sehingga tamat saingan musim ini.

Pengurus Penang Black Panthers, Abd Hafiz Abd Majid berkata, masih ada beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan lagi menjelang aksi minggu kelima nanti walaupun mereka kini kembali berada di puncak liga.

Penang Black Panthers berjaya memintas Johor Tigris selepas melakar kemenangan pada pertemuan menentang PDRM Defenders dan Terengganu Turtles pada saingan minggu keempat di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang.

"Ketika bertemu PDRM Defenders, kami sebenarnya tersilap percaturan sehingga menyebabkan tewas pada set pertama sebelum bangkit pada set seterusnya dengan kemenangan 17-21, 21-10, 21-13.

"Alhamdulillah pada aksi seterusnya pemain-pemain berjaya mendapatkan rentak dan mudah mengetepikan cabaran Terengganu Turtles 21-16, 21-16.

"Sebenarnya dalam kedua-dua perlawanan itu, kita mahukan kemenangan straight set untuk kita menjarakkan kutipan mata dengan pencabar terdekat, Johor Tigris dan Perak Bison," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Abd Hafiz berkata, sepanjang saingan minggu pertama STL 2019, pasukannya masih mencari-cari rentak terutamanya melibatkan dua tenaga import dari Thailand, Aekkasit Naphom dan Purached Yodsaen serta barisan pemain muda yang dipertaruhkan musim ini.

"Bagaimanapun, pada penghujung perlawanan pusingan pertama, mereka telah mula mendapat rentak dan mampu memberi impak positif meskipun masih ada beberapa kesilapan kecil yang mampu diimbangi dengan semangat kerjasama dalam pasukan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya persiapan pasukan menjelang pusingan kelima yang dijadualkan berlangsung di Kota Bharu, Kelantan minggu ini, Abd Hafiz berkata, Penang Black Panthers tidak boleh tercicir mata sekiranya mahu mempertahankan gelaran juara musim lalu.

"Sekarang kesemua pasukan giat menggandakan usaha dalam memantapkan lagi pasukan masing-masing, malah mereka juga sudah mengetahui corak permainan kami.

"Jadi kami perlu bijak untuk merencanakan strategi dengan meletakkan pemain-pemain yang sepatutnya dalam satu-satu perlawanan dengan misi memburu kemenangan," ujarnya.