Kutipan tol di LinKedua bagi motosikal dimansuhkan

Mohd Anuar bersalaman dengan penunggang motosikal yang menggunakan LinKedua.
Mohd Anuar bersalaman dengan penunggang motosikal yang menggunakan LinKedua.
A
A
A
ISKANDAR PUTERI - Kutipan tol bagi motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua) dekat Gelang Patah, di sini, dimansuhkan mulai hari ini.

Pemansuhan berkuatkuasa 12 tengah malam tadi memberi manfaat kepada warga bandar raya Johor Bahru yang menggunakan laluan berkenaan secara harian.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, pemansuhan itu menjadi berita gembira buat mereka yang berulang alik ke tempat kerja dari Malaysia ke Singapura.

Menurutnya, langkah itu sekaligus menjadi hadiah tahun baharu yang cukup bermakna dalam mengurangkan kos sara hidup.

"Dengan ketiadaan kutipan tol bagi motosikal mulai 1 Januari, kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan plaza tol ini secara harian akan mendapat manfaat jangka panjang.

"Mereka juga akan mendapat penjimatan kos di antara RM24.20 sehingga RM66 sebulan berdasarkan kiraan hari bekerja purata 22 hari atau 30 hari sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemansuhan kutipan tol tersebut, di Plaza Tol Tanjung Kupang, Linkedua, di Gelang Patah, di sini semalam.

Mohd Anuar berkata, pemansuhan tol bagi motosikal berkenaan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019, selaras komitmen kerajaan mengurangkan kos sara diri rakyat.

Katanya, dengan pemansuhan itu, pengguna motosikal akan menikmati laluan tanpa tol 19 tahun lebih awal daripada tempoh yang dijadualkan dalam perjanjian konsesi Lebuhraya Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Artikel Berkaitan:


Selain itu, beliau berkata, LinKedua dibuka kepada pengguna sejak 1998 dan secara tidak langsung telah menyumbang jasa kepada orang ramai khususnya yang bermotosikal secara harian berulang alik ke tempat kerja dari Malaysia ke Singapura.

Sebelum ini, penunggang motosikal perlu membayar tol RM1.10 di Plaza Tol Tanjung Kupang.