36 maut nahas jalan raya di China

Sebuah bas membawa 69 orang berlanggar dengan trak di sebuah lebuh raya di wilayah Jiangsu, China pagi semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya 36 orang maut sementara 36 yang lain cedera. - Foto Twitter People's Daily
Sebuah bas membawa 69 orang berlanggar dengan trak di sebuah lebuh raya di wilayah Jiangsu, China pagi semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya 36 orang maut sementara 36 yang lain cedera. - Foto Twitter People's Daily
A
A
A

BEIJING - Sekurang-kurangnya 36 orang maut sementara 36 yang lain cedera apabila sebuah bas bertembung dengan sebuah trak di timur China, kata pihak berkuasa hari ini.

Biro Keselamatan Awam Yixing berkata, bas yang membawa 69 orang itu berlanggar dengan trak pengangkut di sebuah lebuh raya di wilayah Jiangsu pagi semalam.

Menurut kenyataan biro terbabit, siasatan awal mendapati nahas berlaku disebabkan tayar pancit di bahagian sebelah kiri depan bas.

Sembilan mangsa dilaporkan cedera parah, 26 cedera ringan manakala seorang mangsa telah dibenarkan keluar dari hospital.

Lebuh raya Changchun-Shenzhen dibuka semula selepas operasi menyelamat selama lapan jam.

Nahas jalan raya sering berlaku di China di mana peraturan trafik kerap dilanggar atau tidak dikuatkuasakan.

Laporan pihak berkuasa mengatakan seramai 58,000 orang terbunuh dalam nahas jalan raya di seluruh China pada tahun 2015.

Pelanggaran undang-undang lalu lintas merupakan punca kepada hampir 90 peratus kemalangan yang menyebabkan kematian atau kecederaan pada tahun itu. - AFP

Artikel Berkaitan: