PKNS turun pangkat

Antara aksi melibatkan PKNS menentang Selangor pada saingan Liga Malaysia. - Foto PKNS FC
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) sebulat suara menerima penggabungan PKNS FC sebagai ‘feeder club’ badan induk bola sepak negeri itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh 47 ahli gabungan yang hadir pada mesyuarat Kongres Luar Biasa FAS yang berlangsung di Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun Dr Johan berkata, masih ada lagi beberapa proses yang perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak sebelum penggabungan itu dapat dilaksanakan.

“Ini adalah salah satu proses yang perlu dilalui dan secara dasarnya di peringkat FAS kami bersetuju untuk menerima PKNS FC sebagai ‘reserved team’ atau ‘feeder club’ pasukan Selangor.

“Jadi di peringkat PKNS FC pula perkara sama juga perlu dilakukan sebelum kami memanjangkan permohonan ini kepada pengendali Liga Bola Sepak Malaysia (MFL),” jelasnya.

Sekiranya proses penggabungan ini berjalan dengan lancar maka PKNS FC yang beraksi dalam saingan Liga Super bakal turun pangkat ke Liga Premier dan tidak boleh menyertai saingan Piala FA serta Piala Malaysia pada musim depan.