'Pembunuhan Khashoggi berlaku di bawah pemerhatian saya'

Putera Mohammed. -Foto AFP
Putera Mohammed. -Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman (MBS) sedia memikul tanggungjawab bagi kes pembunuhan wartawan terkenal Jamal Khashoggi yang dibunuh Oktober tahun lalu dan mengaku ia berlaku di bawah pemerhatiannya.

Putera Mohammed membuat kenyataan itu dalam satu temubual dengan televisyen Amerika Syarikat (AS) beberapa bulan selepas kematian pengkritik lantang beliau itu namun menafikan penglibatannya dalam kes tersebut.

"Saya memikul semua tanggungjawab kerana ia berlaku di bawah pemerhatian saya," katanya kepada seorang wartawan pada Disember tahun lalu menurut petikan dikeluarkan dalam dokumentari terbaharu Perkhidmatan Penyiaran Awam (PBS) yang dijangka disiarkan minggu depan.

Putera Mohammed turut menegaskan bahawa pembunuhan itu dilaksanakan tanpa pengetahuannya.

Ketika disoal mengapa MBS tidak tahu mengenai pembunuhan itu, Putera Mohammed menjawab negaranya mempunyai 20 juta orang dan tiga juta pekerja.

Beliau kemudiannya ditanya bagaimana sebuah pasukan boleh menggunakan salah sebuah pesawat diraja ke Istanbul untuk melakukan pembunuhan terbabit, MBS menjawab "Saya mempunyai pegawai dan menteri untuk melaksanakan sesuatu perkara dan mereka bertanggungjawab, mereka mempunyai kuasa untuk melakukan sedemikian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembunuh Khashoggi masih cetus tanda tanya

Pemimpin de facto negara minyak itu berdepan tekanan antarabangsa selepas kolumnis The Washington Post itu dibunuh kejam dan mayatnya dikerat kepada beberapa bahagian di konsulat Saudi di Istanbul Turki pada 2 Oktober 2018.

Artikel Berkaitan:

Mayat Khashoggi bagaimanapun tidak pernah ditemukan sehingga ke hari ini.

Riyadh sebelum ini berulang kali menafikan Putera Mohammed dalang di sebalik pembunuhan Khashoggi.

Menerusi laporan pakar asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjalankan siasatan bebas, ia mendakwa terdapat bukti boleh dipercayai mengaitkan MBS dengan pembunuhan tersebut dan cubaan menyembunyikannya.

Agensi Perisikan Pusat (CIA) turut mendakwa pembunuhan dilakukan atas arahan Putera Mohammed.

Kira-kira 12 orang yang terlibat dalam pembunuhan kini ditahan dengan hukuman mati bakal dikenakan terhadap lima lelaki. - AFP