Lelaki direman curi 40 ayam organik

Suspek, 20-an direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki mencuri ayam organik 40 ekor, kelmarin.
Suspek, 20-an direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki mencuri ayam organik 40 ekor, kelmarin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki mencuri 40 ekor ayam organik milik seorang warga emas di Chabang Tiga di sini kelmarin.

Perintah tahanan reman terhadap suspek yang berusia lingkungan 20-an dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen, Roszita Md Saad bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Menurut sumber, kejadian kecurian dipercayai berlaku semasa warga emas berusia 71 tahun itu ke kandang ternakan ayamnya yang terletak berhampiran rumah.

"Dalam perjalanan ke sana, warga emas itu terserempak dengan seorang lelaki membawa guni menuju ke sebuah kereta Perodua Myvi di tempat kejadian.

"Warga emas itu kemudian bertanya kepada suspek mengenai isi kandungan guni itu sebelum dimaklumkan guni itu berisi baja.

"Bagaimanapun, dia dikatakan sempat memegang guni dan mendapati ia adalah ayam sebelum suspek segera melarikan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Jelas sumber, mengesyaki sesuatu yang tidak kena sudah berlaku terhadap ternakannya, warga emas itu terus membuat pemeriksaan di kandang sebelum mendapati 40 ekor ayam organiknya hilang.

"Yakin ternakannya sudah dicuri suspek, dia membuat laporan polis untuk tindakan lanjut selain turut mendakwa ayam ternakannya sebelum ini pernah beberapa kali hilang tetapi tidak membuat laporan.

Artikel Berkaitan:

"Susulan laporan dibuat di Balai Polis Chabang Tiga, seorang lelaki (suspek) ditahan di sebuah rumah di Manir, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan mangsa terpaksa menanggung kerugian keseluruhan RM600.