PRK Tanjung Piai: Pas susun gerak kerja minggu depan

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

KOTA BHARU - Pas dijangka akan menyusun gerak kerja pada minggu depan secara bersama untuk memastikan kemenangan memihak kepada calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada ketika ini pihaknya masih belum membuat sebarang tindakan dan menunggu pemakluman daripada BN terlebih dahulu.

Menurutnya, maklum balas tersebut juga termasuklah berhubung dengan soal pemilihan siapa calon yang akan diletakkan nanti untuk bertanding di parlimen berkenaan.

"Secara prinsipnya kita setuju satu lawan satu. Setakat ini kita tunggu respons daripada BN. Saya juga difahamkan BN akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dan dimaklumkan kepada parti kemudiannya.

"Lagipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membuat sebarang keputusan dan mereka akan bermesyuarat 1 Oktober nanti. Kita tunggu dulu," katanya kepada media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai uji 'perkahwinan' UMNO-Pas

PRK Tanjung Piai: Jangan letak calon bidan terjun

Beliau ditemui menghadiri Majlis Anugerah Penarafan Bintang Dan Perkhidmatan Cemerlang Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) 2018 di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus.

Dua anak syarikat Kumpulan PKINK diberikan penganugerahan lima bintang hari ini yang turut dihadiri Tuan Ibrahim.
Dua anak syarikat Kumpulan PKINK diberikan penganugerahan lima bintang hari ini yang turut dihadiri Tuan Ibrahim.

Dalam pada itu, senada dengan Naib Presiden parti, Tuan Ibrahim berkata, bagi Pas sesiapa sahaja yang menjadi calon untuk UMNO sama ada dari MCA ia tidak menjadi masalah.

"Tidak kira siapa calon kita akan bekerjasama turun ke kawasan untuk berkempen bagi memastikan kemenangan di sana nanti," katanya.

Kerusi Tanjung Piai kosong selepas Ahli Parlimennya, Datuk Dr Farid Md Rafik, 43, meninggal dunia akibat sakit jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanding di Parlimen Tanjung Piai atas tiket Bersatu pada PRU14 dan menewaskan Datuk Wee Jeck Seng daripada MCA.