Sudah masanya sistem cukai negara dirombak

JOMO
JOMO
A
A
A

KUALA LUMPUR - " Sudah tiba masanya sistem cukai Malaysia dirombak agar lebih berkesan dan ia mampu memberi perubahan ketara kepada ekonomi negara," kata pakar ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram.

Memetik laporan Malaysiakini, Jomo yang juga penasihat penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata, ini kerana ada kelompongan dalam sistem cukai negara yang menyebabkan banyak pihak sama ada individu atau syarikat yang cuba mengelak daripada dikenakan cukai dengan pelbagai cara.

“Ada kaji selidik beberapa tahun lalu menunjukkan lebih separuh daripada pemilik kereta mewah tak bayar cukai pendapatan. Kalau kamu balu kaya, (bolehlah) kamu tak bayar cukai tapi masih mampu beli BMW atau apa-apa kereta (mewah).

“Dua tahun lalu, berdasarkan (laporan) Focus (Malaysia), tiga wanita terkaya di negara ini semuanya balu kaya. Malangnya ketiga-tiganya semua sudah meninggal tapi saya yakin bukan semua pemilik kereta mewah ini balu kaya.

“Jadi anda tentu mula tertanya-tanya, betapa mudah dan berjayanya tindakan lari daripada cukai di negara ini," katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Laporan Pelaburan Dunia Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2009, di Mercu UEM di sini semalam.

Mengulas lanjut katanya, terdapat juga syarikat-syarikat besar yang beroperasi di banyak negara hanya untuk mengambil kesempatan daripada insentif dan pelepasan cukai yang diberikan kerajaan negara berkenaan.

Sehubungan itu katanya, sudah tiba untuk Malaysia menjalin kerjasama antarabangsa bagi membolehkan cukai dikenakan kepada syarikat-syarikat itu.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini, ada banyak cara untuk kenakan cukai terhadap pihak berpendapatan tinggi secara lebih efektif.

"Saya yakin penasihat dalam kerajaan sedang meneliti pilihan-pilihan ini," katanya.