JANS pandang serius ugutan serangan siber melalui email

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memandang serius ugutan serangan siber terhadap sistem komputer jabatan itu yang dihantar melalui email oleh ‘Silence Hacker Group’ baru-baru ini.

Pengarah JANS, Amarjit Singh berkata, pihaknya telah membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai ugutan serangan siber berkenaan.

“Kita telah buat laporan agar pihak berkuasa dapat mengenal pasti penghantar email tersebut dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada pelaku berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pada 21 September lepas Bahagian Hal Ehwal Koprat JPNS telah menerima email berbentuk ancaman yang mana isi kandungannya seperti memberi amaran kepada pentadbiran JANS dan akan menghancurkan website JANS serta memadam semua data cawangan jabatan berkenaan sekiranya gangguan bekalan air berterusan.

“Kita pandang serius perkara ini kerana pihak yang bertanggungjawab menghantar email itu seperti meremehkan tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh JANS selama ini,” katanya.

Sementara itu, Amarjit berkata, rakyat Sabah khususnya di beberapa tempat yang sering kali mengalami gangguan air perlu memahami masalah yang dihadapi jabatan itu.

“Seperti di beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu, banyak masalah yang timbul sehingga menyebabkan sesetengah kawasan tidak menerima air. Masalah yang timbul seperti sistem pam di sesebuah kawasan itu menyalurkan kuantiti air yang banyak sehingga kawasan lain mengalami gangguan bekalan air.

“Oleh itu masalah-masalah seperti ini kita perlu selesaikan dengan kerjasama pihak berkenaan dan ia memerlukan perbincangan. Selain itu, ada beberapa tempat yang mengalami masalah gangguan air disebabkan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mencuri air sehingga menyebabkan bekalan air terganggu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: