PRK Tanjung Piai: Amanah akur siapa sahaja jadi calon

Salahuddin (dua dari kanan) sewaktu sidang media PRK Tanjung Piai di Pusat Khidmat DUN Pulai Sebatang hari ini.
A
A

PONTIAN - Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan sokongan kepada mana-mana calon yang diputuskan pimpinan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub berkata, tidak timbul soal pertelagahan kerusi antara parti memandangkan kerusi Tanjung Piai dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Ikut siapa yang punya kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti itu yang akan letakkan calon.

"Tetapi saya sendiri boleh berunding dengan pimpinan PH untuk kita memutuskan calon yang terbaik di Parlimen Tanjung Piai," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang di Taman Jaya, Pontian hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda Amanah negeri, Taqiuddin Cheman dan Ketua Komunikasi Amanah Johor, Onn Jaafar.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau ada menghubungi Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal malam tadi untuk mengadakan pertemuan Jumaat ini.

"Jumaat ini saya akan jumpa Dr Sahruddin untuk memperincikan strategi dan gerak kerja bagi PRK Tanjung Piai.

"Seterusnya pada 4 Oktober, saya selaku Pengarah Pilihan Raya PH Johor akan mengadakan mesyuarat di peringkat komponen parti Pakatan Harapan bagi menyelaras gerak kerja jentera parti," katanya.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kini kosong berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Dr Md Farid Md. Rafik, 42, pada Sabtu lalu akibat sakit jantung.

Allahyarham memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 524 undi menewaskan penyandangnya, Datuk Wee Jeck Seng dari MCA.