X

Kindly register in order to view this article
!

Kampung Baru: Pembangkang jangan main politik

Khalid
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad hari ini meminta pihak pembangkang tidak mempolitikkan isu pembelian tanah Kampung Baru untuk menggagalkan usaha pembangunan semula kawasan penempatan di ibu kota itu.

Menurutnya, pembangunan semula Kampung Baru adalah untuk kepentingan penduduknya juga, di mana kerajaan berharap dapat menonjolkan penempatan masyarakat Melayu yang moden, selesa dan maju pada dunia.

"Jangan main politik dalam soal ini. Kita ambil kira kepentingan masyarakat Melayu dan Islam dan tak nak tinggalkan keadaan di mana satu bandar telah dibangunkan tetapi Kampung Baru kekal dalam keadaan sebegitu," katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan 12 ahli bagi Lembaga Rayuan (Perancangan) dan Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Khalid pada Sabtu lepas berkata, kerajaan menawarkan kadar RM850 sekaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula Kampung Baru dan ia merupakan kadar tertinggi dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Khalid menyelar pembangkang yang ketika menjadi kerajaan dahulu menawarkan kadar RM300 sekaki persegi, namun kini membuat kenyataan bahawa kadar RM850 sekaki persegi terlalu rendah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangunan Kampung Baru bukan omong kosong: Menteri

Kerajaan tawar beli tanah Kampung Baru RM850 satu kaki persegi

Isu Kampung Baru: Kerajaan mungkin tawar harga lebih tinggi

Beliau turut meminta penduduk Kampung Baru tidak mendengar hasutan pihak yang tidak mahu pembangunan semula itu berjalan.

Menurutnya, pembangunan Kampung Baru melibatkan 45,000 unit kediaman iaitu 50 peratus daripadanya ditetapkan untuk pembinaan rumah mampu milik.

Sementara itu, Khalid berkata, fungsi dan peranan dua entiti iaitu Lembaga Rayuan (Perancangan) dan Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan dihidupkan semula bagi menambah nilai dan mengukuhkan sistem serta tadbir urus perancangan bandar di Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kedua-dua entiti itu telah wujud sebelum ini, namun ia tidak dimanfaatkan dan berperanan secara aktif dalam melengkapkan sistem dan tadbir urus perancangan, khususnya di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, pihak kementerian mengambil langkah proaktif menggerakkan semula dan mengemas kini fungsi dan peranan kedua-dua entiti tersebut, selaras dengan peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) bermula pertengahan tahun lepas, bagi mengambil kira cabaran dan isu perbandaran.

Dalam kawasan DBKL katanya, sejumlah 59 kes rayuan telah didaftarkan dan sesi pendengaran dan perbicaraan pertama akan berlangsung pada 1 dan 2 Oktober ini di Mahkamah Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Lembaga Rayuan (Perancangan) akan bertindak seperti 'mahkamah perancangan' bagi mendengar dan mempertimbangkan kes berkaitan perancangan bandar dan menjadi platform memudahkan pihak yang terkilan mengemukakan rayuan, apabila tidak berpuas hati dengan keputusan pihak berkuasa perancangan tempatan.

Lembaga Penasihat Perancangan pula berperanan sebagai platform rasmi bagi memastikan dasar dan keutamaan yang digariskan Kementerian Wilayah Persekutuan dari segi pembangunan fizikal, alam sekitar, sosial dan ekonomi diterjemahkan dalam sistem dan proses perancangan bandar di Kuala Lumpur.

"Ia amat tepat pada masanya ketika kita sedang wartakan pelan Kuala Lumpur 2020-2040. Inilah masanya untuk kita dapatkan semua pandangan dan nasihat, khususnya daripada golongan profesional terhadap perancangan pembangunan Kuala Lumpur 2040, boleh kita perolehi dan ambil kira dalam perancangan kita," katanya. - Bernama