Fasiliti sukan setiap daerah akan dinaik taraf

Khairuddin turut menyertai acara senaman zumba bersama kira-kira 200 peserta terdiri daripada penjawat awam dan orang awam, hari ini.
Khairuddin turut menyertai acara senaman zumba bersama kira-kira 200 peserta terdiri daripada penjawat awam dan orang awam, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan menaiktarafkan fasiliti dan kemudahan sukan di setiap daerah di Selangor dalam usaha mencapai visi membudayakan gaya hidup sihat menerusi aktiviti kesukanan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman berkata, selain membudayakan aktiviti kesukanan dalam kalangan rakyat, langkah itu secara tidak langsung dapat membantu mencungkil bakat pelapis atlet dalam acara sukan.

“Selangor ini sebuah negeri yang maju, namun kita tetap tidak melupakan pembangunan aspek sukan dan saya lihat kemudahan serta fasiliti sukan perlu dinaiktarafkan dari semasa ke semasa.

“Kita juga sentiasa menimbang idea baru dan segar terutama melibatkan perancangan program sukan komuniti contohnya di kampung-kampung saya akan lihat bagaimana kita boleh bangunkan padang bola sepak ringkas supaya persekitaran sukan itu lebih sesuai dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Kit Suksel 2.0 Komuniti Cergas dan Sejahtera yang dianjurkan sempena Sambutan Ambang Tahun Baru 2019 di Dataran Kemerdekaan, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor dan Setiausaha Kelab SUK Selangor, Muhamad Faiz Mohamed Yusof.

Dalam program sama, kira-kira 200 kakitangan kerajaan negeri dan orang awam menyertai senaman zumba selama dua jam tanpa henti dalam menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan gaya hidup bersukan.

Khairuddin turut memuji semangat dan keterujaan peserta acara itu dan melihat ia wajar menjadi contoh dan ikutan kepada jabatan dan agensi-agensi kerajaan lain.

Artikel Berkaitan:

“Seruan untuk tingkatkan kesedaran pentingnya aktiviti kesukanan dalam kehidupan perlu dimulakan di kalangan penjawat awam dan saya lihat penyertaan di kalangan mereka hari ini cukup bersemangat.

“Acara senaman zumba juga saya lihat berpotensi dijadikan acara terbesar dalam program ini, untuk penganjuran akan datang mungkin kita akan rangka acara zumba ini untuk mencipta rekod dalam Malaysia Books Of Record,” katanya.