Mayat bayi lelaki dalam mangkuk tandas

Pihak polis mengambil mayat bayi itu untuk dihantar ke HTAA bagi tujuan bedah siasat.
Gambar kecil: Mohd Noor
Pihak polis mengambil mayat bayi itu untuk dihantar ke HTAA bagi tujuan bedah siasat. Gambar kecil: Mohd Noor
A
A
A

KUANTAN - Mayat bayi yang baru dilahirkan ditemukan dalam tandas awam Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini pada jam 9.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, mayat bayi lelaki cukup sifat itu ditemui kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) ketika menggunakan tandas berkenaan.

Menurutnya, saksi melihat air berwarna merah bercampur darah keluar dari mangkuk tandas selepas mengepamnya.

"Saksi kemudian memaklumkan kepada pekerja pencuci dan pemeriksaan dibuat bagi mengeluarkan objek tersumbat menggunakan dawai.

"Pekerja itu kemudian menarik keluar uri dan tali pusat bayi lelaki itu dengan dawai tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Lokasi penemuan mayat bayi lelaki.
Lokasi penemuan mayat bayi lelaki.

Beliau berkata, pihaknya sudah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang wanita memakai baju serba hitam bersama beg bagasi memasuki tandas itu pada jam 5.58 pagi.

Katanya, wanita berkenaan kemudian keluar dari tandas itu pada jam 6.30 pagi dengan memakai baju kurung.

Artikel Berkaitan:

"Tandas awam itu telah ditutup sejak 19 September lalu bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf.

"Kita percaya suspek cuba menyembunyikan kelahirannya dengan membuang bayi itu dalam mangkuk tandas. Kita minta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kes ini," katanya.

Mayat bayi yang dianggarkan lahir tidak cukup bulan itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Hari ini, satu hantaran di laman sosial Facebook tular mengenai gambar dan status penemuan mayat bayi itu.

Gambar dan posting mengenai penemuan mayat bayi tular di Facebook.
Gambar dan posting mengenai penemuan mayat bayi tular di Facebook.