Malaysia hadkan kawasan sawit: Teresa

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengamalkan beberapa dasar penting untuk memastikan penanaman sawit yang mampan, termasuk mengehadkan jumlah kawasan tanaman kepada 6.5 juta hektar.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, dasar itu termasuk menghentikan penanaman sawit di kawasan tanah gambut dan mengetatkan pengawalseliaan berkaitan penanaman sawit di kawasan tanah gambut sedia ada.

“Kami juga menyekat penukaran status kawasan rizab hutan kepada penanaman sawit di samping berjanji menjadikan peta kawasan perladangan sawit boleh diakses orang awam,” katanya ketika berucap di Program Suai Kenal Minyak Sawit (POFP) ke-39 di sini hari ini

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Teresa berkata, kesemua dasar itu menunjukkan komitmen dan tindakan serius Malaysia untuk membuktikan industri sawit adalah mampan, mematuhi keperluan antarabangsa dan piawaian nasional bagi menghentikan persepsi negatif terhadap minyak sawit.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa mengamalkan amalan pertanian baik, termasuk penilaian terhadap kesan alam sekitar dalam pembangunan serta operasi industri minyak sawit.

“Kita komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan di negara ini dilitupi hutan dan kehijauan. Angka terkini menunjukkan 55.6 peratus daripada 33 juta hektar kawasan tanah Malaysia dilitupi hutan setakat pada 2017,” katanya.

POFP 2019 yang dihadiri 34 peserta dari 19 negara merupakan anjuran MPOB serta disokong Program Kerjasama Teknikal Malaysia di bawah Kementerian Luar.

Artikel Berkaitan:

Objektif POFP adalah menyesuaikan dan mendedahkan peserta kepada keseluruhan spektrum industri minyak sawit di Malaysia.

Ia termasuk pembangunan dan kemajuan semasa bagi komponen utama industri ini iaitu huluan, pertengahan dan hiliran.

Sebanyak 1,274 peserta dari 100 negara telah menyertai dan memperoleh manfaat daripada program ini yang dianjurkan sejak 1982.

Teresa berharap,para peserta akan menjadi ‘duta’ minyak sawit dengan menyebar luas kebaikan minyak sawit di negara masing-masing.

Pada acara itu, sisipan berjudul ‘Plus’ yang mengetengahkan artikel dan wawancara mengenai kelebihan minyak sawit serta menampilkan berita muka hadapan mengenai Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dilancarkan.

Plus, merupakan sebahagian rancangan komunikasi MPOB, diterbitkan dalam tiga bahasa Melayu, Inggeris dan Cina dan dilancarkan sempena Hari Jantung Sedunia pada 29 September. - Bernama