Jangan keliru bacaan IPU: Wan Azizah

Pemandangan Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) kabur ekoran jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Cheras mencatatkan bacaan 156 iaitu tidak sihat ketika gambar ini dirakam pada 9 pagi tadi. - Foto Bernama
Pemandangan Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) kabur ekoran jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Cheras mencatatkan bacaan 156 iaitu tidak sihat ketika gambar ini dirakam pada 9 pagi tadi. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Orang ramai dinasihati agar tidak keliru dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbanding suasana sebenar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana penggunaan PM2.5 dalam pengiraan IPU adalah selaras dengan piawaian antarabangsa.

Menurutnya, pengiraan tersebut juga diguna pakai di kebanyakan negara lain.

“Kita mengambil maklum terdapat banyak persoalan daripada orang awam berkaitan proses bacaan IPU," katanya.

Menurutnya, bacaan IPU yang disalurkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) merupakan bacaan IPU rasmi negara.

“Data-data itu telah ditentusahkan sebelum dipamerkan kepada orang awam,” katanya yang mengulas rungutan masyarakat yang mempertikai bacaan yang rendah semalam.

Beliau berkata, bacaan IPU bukan korelasi langsung dengan visibility (jarak kenampakan) dan purata bacaannya untuk tempoh 24 jam.

"Orang ramai dinasihati ikut saranan JAS dengan merujuk bacaan rasmi bagi mengelak sebarang kekeliruan.

Artikel Berkaitan:

“Bacaan IPU JAS boleh diakses melalui laman sesawang jabatan itu atau melalui aplikasi MyIPU yang boleh dimuat turun melalui Google Plays dan Apple Store,” katanya selepas merasmikan Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) di sini hari ini.

Wan Azizah yang juga merupakan Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, sebanyak 40 lokasi IPU berada di tahap tidak sihat dan satu lokasi bacaan melebihi 200 iaitu sangat tidak sihat di Johan Setia, Klang, Selangor iaitu 212.

"Bagi Sri Aman, bacaan IPU setakat jam 8 pagi ini adalah 134 dan berada pada tahap tidak sihat.

"Hasil pemantauan dan penilaian pihak Bomba Sarawak, kebakaran gambut (peat fire) masih lagi berlaku dan kawasan kebakaran bertompok di Sri Aman yang masih terbakar dianggarkan seluas 10 ekar (4 hektar)," katanya.