Jerebu: Jumlah pesakit meningkat 40 peratus

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan akibat konjunktivitis, asma dan ruam di kulit meningkat kepada 40 peratus susulan jerebu yang berpanjangan pada masa ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan dalam penyakit bawaan jerebu ini dicatatkan di seluruh negara setakat ini.

"Peningkatan dalam jumlah kes berkenaan berbeza-beza di stesen yang berbeza.

"Stesen yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang lebih tinggi menyaksikan jumlah kes yang lebih banyak bagi jangkitan pernafasan, mata merah (konjunktivitis), dan ruam kulit,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil penghargaan kepada pencapaian cemerlang Jabatan Kesihatan Labuan di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham menasihati orang ramai supaya duduk di rumah dan kurangkan aktiviti fizikal di luar semasa jerebu ini.

"Gunalah topeng mulut dan hidung jika berada di luar dan kerap basuh muka dan bahagian tubuh lain yang terdedah kepada jerebu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari menyatakan bahawa pulau itu mencatatkan kurang lima peratus bagi penyakit akibat jerebu, yang dianggap tidak begitu serius.

Setakat ini IPU di Labuan kekal pada tahap sederhana dengan bacaan antara 70 and 80.

Artikel Berkaitan:

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. - Bernama