Jerebu: 12 penerbangan di LTSAS dibatalkan

Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) - Foto internet
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Sebanyak 12 daripada 14 yang penerbangan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini terpaksa dibatalkan akibat jerebu hari ini.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, penerbangan yang dibatalkan itu membabitkan 964 penumpang daripada tiga syarikat penerbangan iaitu Air Asia, FlyScoot dan Malindo Air dari Johor Bharu (JB) dan Singapura.

“Dua penerbangan dari Air Asia melibatkan laluan JB-Ipoh-Singapura dan Singapura-Ipoh-JB, manakala Malindo Air melibatkan laluan JB-Ipoh-JB.

“Tiga penerbangan FlyScoot pula melibatkan laluan Singapura-Ipoh-Singapura,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ali berkata, sehingga jam 6 petang tadi, jarak penglihatan adalah 2,500 meter dan tiada penerbangan ditangguh atau dilencongkan.

“Pihak kami akan terus memantau keadaan semasa dengan mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Meteorologi dan kawalan trafik udara, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia,” katanya.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.