Jerebu: Dua penerbangan petang di LTSAS batal

gambar hiasan. FOTO: BERNAMA
gambar hiasan. FOTO: BERNAMA
A
A
A

IPOH - Dua daripada enam penerbangan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini terpaksa dibatalkan pada petang ini disebabkan jerebu.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, penerbangan yang dibatalkan melibatkan laluan Johor Bahru-Ipoh-Johor Bahru dari syarikat penerbangan Malindo Air dan laluan Singapura-Ipoh-Singapura dari syarikat penerbangan tambang murah Singapura, FlyScoot.

"Jarak penglihatan adalah 2,500 meter setakat jam 5.50 petang ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, 417 penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan pada hari ini.

Pihak LTSAS sentiasa melakukan pemantauan keadaan semasa bersama pihak berkaitan termasuk pejabat Jabatan Meteorologi dan kawalan trafik udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Pagi semalam tiga penerbangan dibatalkan sebelum penerbangan beroperasi semula pada jam 11 pagi apabila jarak penglihatan meningkat selepas hujan.

Pemeriksaan dalam portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara di semua lima stesen di Perak adalah pada tahap sederhana setakat jam 7 petang.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. - Bernama

Artikel Berkaitan: