Dua lelaki gagal curi sarang burung walit

Mohd Zamri
Mohd Zamri
A
A
A

BESUT - Cubaan dua lelaki ingin mencuri sarang burung walit gagal selepas tindakan mereka yang menebuk dinding bangunan sarang burung berkenaan disedari penduduk di Kampung Gong Nangka, Jerteh, di sini, Khamis lalu.

Kejadian itu disedari kira-kira jam 3.20 pagi selepas penduduk berhampiran terdengar bunyi mencurigakan dari arah bangunan sarang burung tersebut sebelum menghubungi pemiliknya.

Menurut sumber, sejurus menerima maklumat itu, pengusaha sarang burung berusia 50 tahun segera ke lokasi sebelum menghubungi Balai Polis Jerteh, di sini, untuk mendapatkan bantuan.

"Kemudian dengan ditemani dua anggota polis, lelaki itu ke lokasi bangunan sarang burung terbabit untuk pemeriksaan.

"Setibanya di lokasi, didapati dua lelaki sedang asyik menebuk dinding sebelum cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal sejurus menyedari kehadiran mereka.

"Suspek berjaya meloloskan diri apabila sanggup meninggalkan motosikal jenis Honda Dash di tepi jalan di Kampung Tanah Merah, di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas motosikal tersebut menemui beberapa peralatan digunakan bagi menebuk dinding sebelum kenderaan itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seorang lelaki berusia 41 tahun dipercayai salah seorang daripada suspek berjaya ditahan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah.

"Kini kita sedang giat memburu seorang lagi suspek dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan memecah masuk bangunan," katanya.