Kami bukan pendatang!

Awaluddin menunjukkan kad pengenalannya kepada media.
A
A

SUNGAI BULOH - Jangan kata kami pendatang, tegas penduduk yang terlibat dalam perobohan rumah di Sungai Kedondong Paya Jaras, Sungai Buloh.

Awaluddin Hasbullah, 54, berkata, penduduk di sini merupakan warga tempatan dan bukannya warga asing.

"Saya ada terbaca di media sosial, ada netizen yang mengatakan kami di sini pendatang, saya nak tegaskan kad pengenalan saya berwarna biru, saya warganegara sini.

"Jangan sewenangnya mengatakan kami di sini pendatang dan ada di antara penduduk yang mana mereka berketurunan daripada luar Malaysia, namun lahir di sini secara automatik mereka warganegara Malaysia," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, apa yang menyedihkan nasib mereka dilayan seperti warga asing apabila rumah dirobohkan begitu saja.

"Kami warga Malaysia, namun kenapa layan kami sebegini, kenapa harus bersikap zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"Sediakanlah penempatan kepada kami dengan sempurna, ini biarkan kami tidur di bawah khemah dengan keadaan daif, kami tak patut dilayan sebegini rupa," katanya.

Jelasnya, kepimpinan kerajaan negeri seharusnya prihatin tentang apa yang dialami penduduk yang terlibat.

"Kepada Menteri Besar, turunlah sendiri ziarahlah kami, dengar sendiri dari kami tentang apa yang berlaku.

"Jangan sewenangnya mengatakan kami ada menerima itu dan ini, saya tegaskan apa yang diungkapkan sebelum ini tidak benar sama sekali termasuk ada yang mengatakan kami ada menerima pampasan, itu tak benar," katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras menafikan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman bahawa proses perobohan rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengerusinya, Azroy Abdul Manaf mendakwa, pegawai yang ditugaskan ketika operasi tidak mengemukakan sebarang dokumen hitam putih berhubung pelaksanaan itu.

Azroy berkata, pihak terlibat menjelaskan bahawa mereka hanya menerima arahan daripada peringkat atas untuk melakukan perobohan terhadap rumah-rumah terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah dirobohkan mengikut prosedur, kata ADUN Paya Jaras