Projek ECRL akan diteruskan, kata Tun M

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tetap komited melaksanakan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) walaupun didakwa terbongkar projek itu digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan dakwaan pakar ekonomi ternama, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram itu adalah benar.

Namun, beliau menegaskan kerajaan sudah menandatangani kontrak perjanjian dengan kerajaan China untuk membinanya di mana skop dan kos pembinaan sudah dikurangkan.

"Pandangan (Prof) Dr Jomo bahawa kerajaan tidak ada sebab untuk meneruskan projek ECRL adalah pandangan peribadi.

"Tetapi kerajaan China tidak ada minta apa-apa(berkenaan projek ECRL). Jadi ya, kita akan teruskan, "katanya,"katanya sewaktu melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini petang tadi.

Hadir sama ialah Pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari dan Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Rais Yatim.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas gesaan Prof Dr Jomo bahawa kerajaan kini tidak ada sebab untuk meneruskan komitmennya kepada projek ECRL selepas terbongkar yang projek itu digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Prof Dr Jomo mengemukakan gesaan itu ketika mengulas kenyataan bekas pegawai khas Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dalam perbicaraan 1MDB minggu lepas.

Artikel Berkaitan:

Dalam perbicaraan itu, Amhari Efendi mendedahkan projek ECRL dan dua projek lain menggunakan pelaburan dari China, Trans-Sabah Gas Pipeline dan Multi Product Pipeline, dikemukakan untuk membayar hutang 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Dr Mahathir berkata, kemungkinan kerajaan akan menanggung kos pampasan tinggi daripada negara China sekiranya projek itu tidak diteruskan bergantung kepada keputusan perbincangan di antara wakil kerajaan dan negara China.

"Namun jika mereka (wakil kerajaan) dapat persetujuan terbaik dengan kerajaan China untuk mengurangkan nilai bayaran pampasan, mungkin saya akan ikut keputusan itu (enggan meneruskan projek ECRL," katanya.

Ditanya sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat pelaksanaan projek ECRL susulan testimoni mahkamah mengaitkan kes 1MDB dengan projek itu, Dr Mahathir menegaskan kerajaan tidak akan campur tangan dengan sebarang keputusan suruhanjaya itu.