Hindari generasi siber menjadi kurang ajar
LEDAKAN teknologi terkini dalam aplikasi media sosial membolehkan pengguna berinteraksi dengan sesiapa sahaja yang dikehendaki, melangkaui sempadan sosial, jantina, umur dan tempat tinggal.
Masakan tidak, dengan hanya mengaktifkan laman sosial peribadi seperti Facebook, Twitter dan Instagram, anda bukan sahaja boleh mengikuti perkembangan harian ahli keluarga, rakan-rakan dan personaliti diminati, bahkan berinteraksi dengan mereka pada bila-bila masa.
Siapa sangka pada hari ini, rakyat marhaen bukan sahaja boleh beramah mesra bersama pemimpin atasan atau artis-artis disanjungi secara atas talian, bahkan mereka sudah boleh bergurau senda dengan kerabat diraja tanpa sekatan.
Ditambah dengan keterbukaan raja berjiwa rakyat seperti Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan terbaru Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan melayan kerenah rakyat secara bersahaja.
Keadaan ini sepatutnya merapatkan lagi jurang perhubungan antara rakyat dan institusi diraja dari masa ke masa.
Sifat keterbukaan itu juga membolehkan golongan warganet berasa lebih dekat dengan institusi diraja sehingga ada yang sanggup menonton berjam-jam siaran langsung berkenaan hal-hal diraja baru-baru ini untuk mengetahui adat-adat diraja.
Bagaimanapun, minggu lalu negara dikejutkan dengan keputusan Tunku Azizah menyahaktifkan akaun Twitter baginda @cheaminahsayang yang pada awalnya dikatakan berpunca daripada komen negatif beberapa warganet yang dikatakan mengeluarkan kenyataan kurang sopan di ruangan komen akaun baginda.
Tindakan itu menyebabkan ramai warganet yang aktif dalam akaun Twitter Tunku Azizah marah dan mengutuk individu-individu berkenaan kerana disebabkan komen negatif mereka, rakyat terputus komunikasi dengan baginda.
Susulan itu, penahanan beberapa individu dibuat polis termasuk aktivis Parti Sosial Malaysia (PSM), Khalid Ismath di bawah Akta Hasutan 1948 setelah menerima laporan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di laman sosial.
Kurang 48 jam setelah dinyah aktif, Tunku Azizah kemudian kembali menciap di Twitter rasminya di samping mengungkapkan rasa sedih dan marah apabila mengetahui beberapa individu ditangkap polis susulan tindakan mengejut baginda itu.
Meskipun baginda bertitah keputusan menyahaktif akaun Twitter bukan disebabkan komen dibuat warganet, rata-rata rakyat berpandangan perbuatan kurang ajar terhadap institusi diraja sudah melampaui batas dan perlu segera dibendung.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam kenyataannya menegaskan senario itu berlaku susulan semakin ramai warganet terutama golongan muda terpengaruh dengan sentimen kebencian terhadap institusi diraja sejak kebelakangan ini.
Golongan dilabelkan Musa sebagai kurang ajar itu yang dipercayai sudah dicuci otak oleh pihak tertentu dan tindakan tegas harus diambil terhadap mereka. Persoalannya, adakah kita sebagai rakyat Malaysia tidak lagi menjunjung asas-asas penting ditekankan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk memelihara kedaulatan institusi diraja?
Bagaimana pula dengan nasib Generasi Z pada masa hadapan apabila tiada lagi aspek kesopanan dan kesusilaan dipupuk dalam diri mereka sehingga personaliti diraja sendiri dijadikan mangsa buli siber setaraf golongan artis? Ya, memang warganet kita sendiri sudah terkenal di seluruh dunia dengan reputasi ‘tentera bawang.’Namun adakah kita mahu terus berbangga dengan reputasi negatif hanya disebabkan mahu tunjuk jaguh menggunakan papan kekunci?
Waima apa jua alasan digunakan bagi mengecam individu lain termasuk institusi diraja melalui aplikasi sosial, kita sebagai rakyat Malaysia wajib mengingatkan diri terhadap semangat Rukun Negara yang menekankan Ketaatan Kepada Raja dan Negara.
Sepatutnya reputasi sebagai ‘tentera bawang’ digunakan sepenuhnya rakyat negara ini bagi mengecam golongan ‘kurang ajar’ yang sentiasa mencari ruang untuk meruntuhkan perpaduan dan institusi pentadbiran negara.
Selain itu, tanggungjawab mengimplementasikan tindakan undang-undang terhadap golongan terbabit tidak wajar diletakkan ke atas bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya perlu digalas oleh semua rakyat Malaysia prihatin.
Kepada mana-mana pihak cuba memanipulasikan hak kebebasan bersuara bagi mengganggu gugat institusi diraja, institusi diraja merupakan lambang kedaulatan negara bangsa dan sekiranya perkara itu dicabuli, maka anda secara tidak langsung menghina bangsa Melayu dan kedudukan agama Islam.