Azmin ketuai delegasi ke Thailand dan Singapura

Mohamed Azmin - Foto ZAHID IZZANI
Mohamed Azmin - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

BANGKOK - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerjanya ke Thailand dan Singapura bermula esok hingga 22 September.

Pejabat Menteri Hal Ehwal Ekonomi (MEA) berkata, lawatan itu merupakan sebahagian daripada langkah-langkah proaktif yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan jirannya paling dekatnya.

Menurut MEA dalam satu kenyataan, Azmin dijadualkan meraikan ulang tahun ke-40 Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA) di sini esok di mana beliau akan memberi ucapan pada majlis makan malam gala bertemakan "40 Tahun Kemakmuran Dikongsi."

"Kerjasama antara kedua-dua negara melalui MTJA telah menjana pendapatan US$10.1 bilion, secara kumulatif dihantar ke Malaysia dan Thailand, dengan setiap negara menerima US$5.05 bilion sejak gas pertama dibekalkan pada tahun 2005," katanya.

Azmin juga dijadual bertemu Menteri Tenaga Thailand Sontirat Sontijirawong ketika sambutan ulang tahun ke-40 MTJA.

MTJA ditubuhkan pada tahun 1979 sebagai badan bersama untuk mengambil semua hak dan tanggungjawab bagi pihak kerajaan Malaysia dan Thailand untuk meneroka dan mengeksploitasi sumber hidrokarbon di Kawasan Pembangunan Bersama di Narathiwat dan Kota Bharu untuk kepentingan utama kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia terdiri daripada pegawai kanan daripada MEA dan diplomat daripada Kedutaan Malaysia di Bangkok.

Pada Sabtu, Azmin akan berlepas ke Singapura dengan beliau akan bertemu dengan anggota kanan kerajaan Singapura untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Artikel Berkaitan:

Azmin dijangka bertemu Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing di luar acara Grand Prix Formula 1 Singapura Singapore Airlines 2019. - Bernama