Anwar jangka beliau dilantik PM tahun depan

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan proses pengambilalihan jawatan Perdana Menteri daripada penyandangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan direalisasikan sekitar Mei tahun depan.

Memetik laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg, Anwar berkata, terdapat satu perjanjian pengambilalihan jawatan Perdana Menteri dibuat sebelum ini.

Anwar mendakwa, menerusi perjanjian itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan meletak jawatan pada waktu bersesuaian.

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau tidak terlalu memikirkan tarikh khusus berhubung pengambilalihan jawatan tersebut.

"Terdapat perjanjian mengatakan (proses penyerahan jawatan) akan dibuat dalam bulan dinyatakan (Mei 2020), namun saya tidak rasa saya perlu terlalu memikirkan tarikh tepat.

"Sama ada proses pengambilalihan jawatan Perdana Menteri akan berlaku dua tahun selepas Dr Mahathir memegangnya, sudah terdapat perjanjian menyatakan beliau (Dr Mahathir) akan meletak jawatan pada waktu bersesuaian," katanya dalam satu temuramah bersama Bloomberg.

Anwar dalam sesi temuramah itu turut menyangkal dakwaan bahawa selain beliau, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga anak Dr Mahathir bakal dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, tiada sebarang isyarat ditunjukkan mana-mana parti dalam PH yang cuba mempromosi atau melobi nama lain.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini tidak menghalang individu-individu tertentu yang bercita-cita besar untuk mencuba dengan pelbagai kaedah.

"Bagi saya, kaedah sebegini adalah tidak relevan. Sama ada kaedah itu sudah dibincangkan atau diberi pengesahan, jawapan saya adalah tidak boleh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya letak jawatan, Anwar akan ganti: PM