Keamanan dikecapi hari ini perlu dipertahankan, kata MB Pahang

Wan Rosdy (dua dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian sambutan Hari Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Maran malam tadi.
Wan Rosdy (dua dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian sambutan Hari Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Maran malam tadi.
A
A
A

MARAN - Keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara hari ini adalah hasil persefahaman serta semangat toleransi pelbagai kaum.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi memastikan ia terus dapat dipertahankan, kepelbagaian budaya dan fahaman dalam negara perlu diraikan dan dihormati semua pihak.

Menurutnya, semua pihak juga tidak boleh menafikan bahawa apa yang rakyat negara ini nikmati adalah hasil perjuangan dan kerja keras kerajaan sejak dahulu lagi.

"Menjadi cabaran besar kepada setiap pemimpin untuk memastikan setiap apa yang kita miliki ketika ini dapat dipertahankan dan diwarisi generasi akan datang.

"Mereka (generasi muda) adalah watak penting dalam menentukan hala tuju negara selepas ini dan keputusan kerajaan (Persekutuan) memberi ruang kepada golongan muda mengundi pada pilihan raya umum akan datang adalah bukti jelas bahawa kerajaan sangat menghargai pandangan serta peranan generasi muda dalam proses membentuk tamadun negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia peringkat Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahim Muda selaku pengerusi sambutan, Exco Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin serta pemimpin setempat.

Lebih 1,000 penduduk memeriahkan sambutan kali ini yang menyaksikan Maran menjadi tuan rumah tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah Wan Rosdy lagi, selain menumpukan kepada usaha membangunkan dan memajukan negara serta negeri, kerajaan tidak boleh mengabaikan aspek pendidikan, terutamanya pengetahuan mengenai sejarah negara ini mencapai kemerdekaan dan seterusnya membawa kepada penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

"Kalau kita lupakan sejarah, kita bimbang generasi muda tidak mendapat maklumat tepat mengenai perjuangan dan usaha pejuang kemerdekaan yang sanggup menggadaikan nyawa mereka dalam membebaskan negara ini daripada belenggu penjajah.

"Sudah pasti, semua nikmat yang kita kecapi ketika ini adalah benda paling berharga dan perlu dipertahankan... bukannya mudah untuk kita memperoleh (kemerdekaan), jadi kenalah kita sama-sama jaga (pertahankan) dan jadikanlah kepelbagaian yang ada sebagai sumber kekuatan negara ini," katanya.