Sokong jika kerana agama, kata Rais

Rais berkesempatan beramah mesra dengan ahli Bersatu pada program di Senawang hari ini.
Rais berkesempatan beramah mesra dengan ahli Bersatu pada program di Senawang hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Bersatu Malaysia Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim menegaskan jika gabungan UMNO dan Pas melalui Piagam Muafakat Nasional adalah kerana agama, usaha itu harus disokong.

Katanya, dalam Islam, apa juga usaha untuk menyatukan kaum, bangsa jangan dibangkang.

"Bagaimanapun, sama ada (gabungan UMNO dan Pas) untuk agama atau nak menang pilihan raya itu saya belum tahu. Kalau untuk agama bangsa kita sangat-sangat menyokong.

"Keduanya, kalau percantuman ini sebab mereka kecewa kerana kalah, sekarang bercantum hendak menang pilihan raya itu tidak ada kaitan, saya fikir dengan keagamaan tadi," katanya ketika ditemui media selepas Program Tradisi Bertanjak Bersatu Negeri Sembilan di Port Cekodok, Senawang petang tadi.

Rais berkata, perkara itu harus ditimbang oleh pemilih dan juga pengundi di peringkat akar umbi sama ada ia sesuatu yang ikhlas atau berkaitan agama atau hanya untuk gimik hendak menang lebih kerusi pada pilihan raya.

"Ini tidak dapat saya menjawabnya. Pihak berkenaan harus menjawabnya dengan jelas," katanya.

Terdahulu, UMNO dan Pas memeterai perjanjian Piagam Muafakat Nasional dengan ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid (UMNO) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas).

Rais sebelum ini turut dilaporkan berkata, jika Pakatan Harapan (PH) tidak menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu maka tiada gabungan dimeterai oleh kedua-dua parti berkenaan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam satu pengertian kemunculan PH itu menggesa UMNO dan Pas mewujudkan satu pakatan dan jika tiada PH mereka tidak akan bersatu.

"Gabungan UMNO dan Pas menerusi Piagam Muafakat Nasional disebabkan kedua-dua parti tersebut melihat kejayaan yang telah dibawa sejak PH mula mentadbir negara," katanya.