Pemuda UMNO Kelantan tekad realisasi penyatuan Pas-UMNO

Noor Hariri
Noor Hariri
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan bersedia menerima apa sahaja arahan daripada pucuk pimpinan bagi memastikan kebangkitan penyatuan Pas-UMNO direalisasikan sebaik mungkin.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, walaupun banyak dugaan daripada pihak yang 'cemburu' dengan penyatuan tersebut, namun itu bukan alasan untuk mereka tidak bergabung tenaga dan menguatkan lagi saf yang ada.

Menurutnya, rakyat boleh melihat bagaimana suasana yang cukup harmoni dan damai apabila kesemua pimpinan tertinggi UMNO serta Pas tanpa berselindung menyatakan keikhlasan mereka dalam jalinan persahabatan tanpa sebarang ragu atau syak.

"Lebih indah lagi apabila peristiwa bersejarah ini dipersetujui dan disaksikan sendiri oleh pemimpin MCA dan MIC di dalam Barisan Nasional (BN) serta pemimpin komponen Gagasan Sejahtera.

"Ia cukup simbolik bahawa muafakat ini adalah formula dan tawaran terbaik untuk memacu negara ke arah yang lebih harmoni dan terjaga dalam masyarakat kaum majmuk pelbagai kaum," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, rakyat tidak perlu gusar atau takut dengan penyatuan tersebut kerana semua pihak berada di dalam satu pelayaran untuk menuju ke destinasi sama iaitu mengembalikan Malaysia yang lebih baik.

Beliau berkata, rakyat sendiri sudah muak dengan permainan parti lain yang masing-masing berlumba untuk mencapai semua impian mereka, bukannya impian untuk rakyat.

"Ini satu penyatuan hebat bagi orang Melayu. Jangan ada pihak yang cuba menabur kebencian kepada muafakat ini. Kami sebagai pemuda di barisan hadapan akan sentiasa maju melawan apa sahaja anasir yang cuba merosakkan pertalian ini," katanya.

Artikel Berkaitan: