Tutup sekolah jika IPU melebihi 200

A
A

Exco Negeri Sembilan

SEREMBAN - Sekolah Seremban yang terjejas akibat jerebu di Negeri Sembilan akan ditutup sekiranya keadaan kualiti udara sangat berbahaya dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, bagaimanapun setakat ini tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Menurutnya, keputusan itu akan diambil sekiranya keadaan jerebu berada di tahap tidak sihat dan menjejaskan kesihatan pelajar.

"Kita sudah meminta pihak pengurusan sekolah untuk tidak menggalakkan sebarang aktiviti di luar sekolah. Bagi kawasan yang melebihi bacaan IPU 150 pula tidak dibenarkan sama sekali sebarang aktiviti di luar bilik darjah," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Dakwah Pasca Malaysia Baharu anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan yang disertai kira-kira 100 peserta di sini hari ini.

Mohamad Rafie berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa berhubung keadaan jerebu, terutamanya bacaan IPU di negeri ini.

Dalam pada itu, tiga daerah di Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat pukul 12 tengah hari tadi dengan daerah Port Dickson mencatatkan bacaan IPU tertinggi.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Nilai merekodkan IPU 109, manakala Seremban (112) dan Port Dickson (188).