Gabungan UMNO-Pas disebabkan kejayaan PH tadbir negara: Rais

Rais pada sidang media di UIAM Gambang.
Rais pada sidang media di UIAM Gambang.
A
A
A

JELEBU - Gabungan UMNO dan Pas menerusi Piagam Muafakat Nasional disebabkan kedua-dua parti tersebut melihat kejayaan yang telah dibawa sejak Pakatan Harapan (PH) mula mentadbir negara, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, sekiranya PH tidak menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu maka tiada gabungan dimeterai oleh kedua-dua parti berkenaan ketika ini.

"Dalam satu pengertian kemunculan PH itu menggesa pihak-pihak dalam UMNO dan Pas untuk mewujudkan satu pakatan dan kalau tiada PH mereka tidak akan bersatu.

"Sesungguhnya gabungan ini hanya untuk mendapat sokongan rakyat, jadi mereka (UMNO-Pas) perlu tunjuk bahawa mereka lebih baik daripada PH.

"Kalau itu dapat dilakukan maka sebahagian daripada beban mereka akan dapat dipikul dengan baik, jika tidak mereka akan gagal," katanya selepas menghadiri program Larian Merdeka Malaysia 2019 di sini hari ini.

Program tersebut disempurnakan oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil daripada gabungan kedua-dua parti berkenaan PH harus menjadikan ia sebagai satu penanda yang baharu dalam menambat hati masyarakat di negara ini untuk terus kekal relevan.

"Ini mungkin menjadi satu 'loceng' yang baharu kepada PH bagi memikir semula apakah dasar dan manifesto yang harus dikaji dan bagaimana manifesto itu berjaya dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya PH tidak akan berdiam diri, kita akan perbaiki menerusi kaca mata DAP, Amanah (Parti Amanah Negara), Bersatu dan PKR (Parti Keadilan Rakyat)," katanya.

UMNO dan Pas memeterai perjanjian kerjasama itu yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional dengan ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid (UMNO) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas). - Bernama