Tiada laporan kanak-kanak bakar rumah: Polis

Tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak yang sengaja membakar rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong Tumpat.
Tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak yang sengaja membakar rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong Tumpat.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak yang terbabit dalam empat kejadian kebakaran rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong Tumpat.

Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu dikatakan terlibat dalam kes berkenaan antara Jun hingga semalam.

Terbaru membabitkan sebuah rumah didiami bapa tunggal bersama empat anak lelaki berusia antara 5 hingga 14 tahun hangus dalam kejadian pada jam 10.45 pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, polis sedia maklum berhubung kebakaran itu dan dakwaan umum mengatakan pelakunya membabitkan seorang kanak-kanak.

“Pegawai penyiasat dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Tumpat menjalankan siasatan awal di tempat kejadian dan sudah menyoal kanak-kanak itu tetapi dia tidak mengaku.

“Polis tidak menerima laporan rasmi berhubung dakwaan itu dan perlu menunggu hasil siasatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Hasanuddin (tengah) memeriksa perbarisan Perhipunan Bulanan Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di IPK hari ini.
Hasanuddin (tengah) memeriksa perbarisan Perhipunan Bulanan Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di IPK hari ini.

Hari ini tular di media sosial seorang kanak-kanak dikatakan bertindak membakar rumah hanya kerana dikatakan seronok melihat anggota bomba datang memadamkan kebakaran.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata,Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran.

“Kita tunggu siasatan bomba dan saya nasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sesuatu perkara yang belum pasti kesahihannya.

Semalam empat beradik selamat daripada kebakaran ketika kejadian di rumah mereka di kampung berkenaan.

Kejadian tersebut kali keempat berlaku selepas kebakaran ketiga membabitkan tujuh rumah di kampung sama pada 28 Ogos lalu.

Insiden pertama berlaku pada Jun lalu melibatkan kebakaran sebuah rumah kedai diikuti tiga unit rumah sewa beberapa hari sebelum Aidiladha baru-baru ini.