X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas maut terkena tembakan di kepala

Gambar hiasan
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas maut selepas terkena tembakan di bahagian kepala yang dilepaskan dua penjenayah di Jalan Tun Fatimah 2, Kangkar Tebrau di sini malam tadi.

Difahamkan wanita berusia 78 tahun itu menjadi mangsa akibat tindakan suspek melepaskan beberapa tembakan rambang untuk menyelamatkan diri daripada dikejar orang ramai selepas gagal menyamun sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 8.45 malam kedua-dua suspek yang juga lelaki itu telah bertindak memasuki sebuah rumah di kawasan berkenaan untuk tujuan samun.

“Suspek telah memasuki sebuah rumah dihuni oleh enam orang untuk menyamun. Mereka juga bertindak melepaskan dua tembakan pada mulanya yang mana turut terkena bahagian bawah kaki kanan salah seorang penghuni.

“Bagaimanapun suspek gagal menyamun apabila mereka diserang semula oleh penghuni rumah yang menyebabkan kedua-dua mereka bertindak melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarudin berkata, kedua-dua suspek ini kemudiannya turut bertindak mengacukan pistol terhadap seorang lelaki yang berada di kawasan berhampiran untuk mendapatkan motosikal jenis Honda EX5 miliknya bagi melarikan diri.

“Ketika cubaan melarikan diri suspek telah melepaskan dua lagi tembakan yang mana salah satu mengena kepala seorang mangsa yang ketika itu berada di halaman rumahnya.

“Mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah,” katanya.

Beliau berkata, identiti kedua-dua suspek berkenaan bagaimanapun telah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sudah giat dilakukan.

“Berdasarkan maklumat kita sudah mengenal pasti identiti kedua-dua suspek ini. Usaha mengesan sedang giat dilakukan di seluruh negeri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Dalam masa sama, Kamarudin turut memohon orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi selain menafikan kejadian ini mempunyai kaitan dengan isu perkauman.

“Kes merupakan kejadian samun bersenjata api, tiada kena mengena dengan perkauman. Oleh itu, polis memohon orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi. Sekiranya ada maklumat, boleh maklum kepada kami untuk bantu siasatan,” katanya.

Kamarudin
Kamarudin


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus