Tepukan ukhuwah UMNO buat Pas

Asyraf Wajdi - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Asyraf Wajdi - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejarah tercipta di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) apabila buat pertama kalinya Pemuda Pas diberi sambutan meriah daripada Pemuda UMNO di Bangunan PWTC petang tadi.

Sambutan luar biasa yang penuh bersejarah itu diketuai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika mereka menghadiri program Townhall Anak Muda Himpunan Penyatuan Ummah di sini.

Sebelum memulakan ucapan, Asyraf Wajdi meminta Pemuda Pas untuk bangun dan kemudian meminta Pemuda UMNO pula memberikan tepukan gemuruh buat mereka.

“Saya nak minta Pemuda Pas untuk bangun. (Selepas semuanya bangun) Saya nak minta Pemuda UMNO berikan tepukan gemuruh kepada mereka.

“Tepukan ini sebagai tanda UMNO kini mengalu-alukan kehadiran Pemuda Pas ke PWTC. Kamu kini bukan lagi tetamu, tetapi kamu kini adalah keluarga kami,” katanya pada program tersebut di sini hari ini.

Sambutan dan tepukan itu sekali gus melambangkan penyatuan kedua-dua parti itu semakin utuh dan dijangka lebih mampan selepas piagam antara kedua-dua parti itu dimeterai esok.

Tambah Asyraf Wajdi, UMNO dan Pas selepas ini perlu ‘tinggalkan cerita lama’ dan bangunkan semangat penyatuan adalah kerana Islam dan kerana ALLAH.

“Kalau nak kata sakit hati saya pada Pas, itulah, Tuhan saja tahu. Saya boleh cerita 1,001 sebab kenapa saya sakit hati dengan Pas.

Artikel Berkaitan:

“Kalau saya dah mula, sudah tentu Khairil (Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin) boleh senaraikan dan cerita apa yang memeritkan ahli Pas,” ujarnya.

Begitupun, segala yang berlaku dulu adalah cerita lama dan kini UMNO-Pas perlu mengorak langkah untuk maju ke hadapan demi Islam dan Malaysia tercinta.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan agar UMNO dan Pas tidak menjadi seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH), baru setahun memerintah tetapi sudah ‘naik tocang, lupa daratan’.

“Mereka nak robek-robek akar-akar yang berjaya kita kukuhkan negara ini. Tidak ada yang menafikan bahawa negara kita ini negara majmuk.

“Sebelum ini negara kita aman, negara kita harmoni, rakyat berbilang kaum tapi tiada masalah perkauman. Betul, ada titik hitam pada 13 Mei 1969.

“Tapi dari titik hitam itulah Pas, UMNO, MCA dan MIC membentuk gabungan baru daripada Perikatan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.