Beli telefon bimbit isteri, bayar duit kereta guna hasil samun

Aidi Sham (dua dari kiri) menunjukkan telefon bimbit yang dibeli suspek menggunakan duit hasil samun.
Aidi Sham (dua dari kiri) menunjukkan telefon bimbit yang dibeli suspek menggunakan duit hasil samun.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang penganggur sempat menghadiahkan telefon bimbit baharu kepada isteri dan membayar hutang keretanya menggunakan wang hasil samun sebelum ditahan polis, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Wawasan, Lukut di sini, selepas lapan hari menyamun seorang wanita warga Vietnam di Bandar Baru Lukut.

"Dalam kejadian 2 September lalu itu, mangsa yang baru sampai di tempat kerjanya di sebuah kedai roti telah didatangi suspek yang bertindak menyerangnya dengan sebilah pisau kecil menyebabkan mangsa cedera pada tapak tangan.

"Suspek kemudian telah melarikan beg plastik berisi wang milik mangsa berjumlah RM19,500 sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Iriz," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek direman lima hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki kurang upaya (OKU) terpaksa bermalam di penjara selepas direman empat hari untuk siasatan lanjut kerana disyaki memukul adiknya menggunakan tongkat bulan lalu.

Aidi Sham berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 28 Ogos di Bandar Sunggala di sini, dipercayai berpunca daripada isu wang.

"Difahamkan sebelum itu berlaku pertengkaran antara dua beradik berkenaan sehingga suspek bertindak memukul adiknya dengan tongkat besi beberapa kali sehingga menyebabkan adiknya pengsan.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian itu disedari oleh ahli keluarga yang kemudian menghantar mangsa ke hospital. Mangsa telah menerima lima jahitan akibat kecederaan dialami pada bahagian dahi," katanya.

Aidi Sham berkata, selepas kejadian itu suspek melarikan diri dan berjaya ditahan hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.