Israel nafi intip Rumah Putih

Rumah Putih -Foto AFP
A
A

BAITULMAQDIS - Israel pada Khamis menafikan laporan kononnya rejim itu telah memasang alat pengintipan berhampiran Rumah Putih, lapor agensi berita Xinhua.

Pejabat Perdana Menteri Israel dalam kenyataan rasmi berkata laporan laman berita Politico Amerika itu sebagai 'tidak benar'.

Menurut laporan dikeluarkan pada Khamis itu, pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengatakan Israel mungkin pihak yang bertanggungjawab memasang alat untuk merakam perbualan telefon di Rumah Putih dan beberapa lokasi sensitif lain di sekitar Washington.

"Kerajaan Israel selama ini komited untuk tidak terlibat dalam operasi perisikan di AS.

"Ia bukan kali pertama Israel dituduh mengintip sekutunya," jelas kenyataan Pejabat Perdana Menteri

Pada 1986, Mahkamah Amerika mendapati warga Amerika-Yahudi, Jonathan Pollard bersalah kerana menjadi pengintip bagi pihak Israel.

Dia dibebaskan dengan parol pada November 2015. - Bernama