Impak perubahan iklim dunia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DI kaca televisyen dan dada akhbar sering terpapar berita tentang perubahan iklim namun pernahkah kita terfikir bagaimana ia menjejaskan penduduk yang hidup dalam kemiskinan? Kesan perubahan iklim dirasai di setiap negara dan benua, antaranya corak cuaca yang berubah-ubah dan kenaikan paras air laut, semua ini merupakan bukti jelas yang semakin membimbangkan.

Bencana alam seperti taufan, kebakaran hutan dan kemarau pula mengancam bekalan makanan dunia, menyebabkan manusia kehilangan tempat tinggal dan juga menjejaskan kehidupan. Kesemua kesan ini meningkatkan risiko terjadinya konflik, kebuluran dan kemiskinan. Perubahan iklim bukan sekadar imaginasi, sebaliknya realiti yang tidak dapat dinafikan.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa jalan untuk menangani ancaman ini semakin mengecil dan paling terkesan adalah penduduk yang hidup dalam kemiskinan.

Perubahan iklim bukan sahaja memberi tekanan kepada persekitaran malah menjejaskan sistem ekonomi, sosial dan politik. Sama ada ia datang dalam bentuk gelombang haba atau cuaca sejuk melampau, perubahan iklim mampu menyebabkan kekurangan keperluan asas seperti air dan makanan serta menjejaskan kehidupan manusia.

Kajian mendapati bumi kehilangan satu pertiga tanah suai tani dalam tempoh 40 tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan bencana alam dan pemuliharaan yang lemah. Lebih 1.3 bilion penduduk dunia tinggal di tanah pertanian yang semakin tidak subur dan ia mengakibatkan kekurangan hasil tanaman sekali gus boleh meningkatkan risiko kebuluran dan kemiskinan.

Sementara itu, kerosakan yang dibawa bencana alam adalah hampir mustahil untuk diatasi oleh penduduk miskin.

Penduduk dunia turut diancam kemarau yang dilaporkan menjejaskan 1 bilion penduduk dalam tempoh 10 tahun lalu. Industri pertanian yang menjadi sumber utama bekalan makanan dan pendapatan penduduk di negara membangun turut terkena tempiasnya.

Konflik

Data Bank Dunia pada tahun 2017 mendedahkan kemarau memusnahkan hasil keluaran yang boleh memberi makan 81 juta orang setiap hari untuk setahun bermula pada tahun 2001. Dalam erti kata lain, perubahan iklim adalah salah satu punca utama konflik di seluruh dunia, ia membawa kepada kekurangan makanan, mengancam kehidupan penduduk dan menjejaskan seluruh populasi.

Artikel Berkaitan:

Ketika warga dunia merasakan kesan perubahan iklim, mereka yang paling lemah dalam menghadapi ancaman ini adalah penduduk di negara termiskin sebagai contoh Haiti dan Timor Leste. Sejumlah 2.5 bilion petani, penternak dan nelayan di seluruh dunia yang bergantung kepada iklim dan sumber semula jadi untuk makanan dan pendapatan turut menjadi mangsa.

Tiga daripada empat orang yang hidup dalam kemiskinan bergantung kepada pertanian dan sumber semula jadi untuk kelangsungan hidup dan perubahan cuaca tidak menentu serta bencana alam meningkatkan kebergantungan mereka terhadap bantuan kemanusiaan. Bagi golongan ini kesan perubahan iklim adalah risiko antara hidup dan mati.

Konflik merupakan punca utama kemiskinan dan penderitaan dalam dunia masa kini dan ia diburukkan lagi oleh perubahan iklim. Di Republik Demokratik Congo, misalnya, perubahan masa dan magnitud hujan menganggu pengeluaran makanan dan meningkatkan persaingan untuk tanah suai tani sekali gus menyumbang kepada ketegangan etnik dan konflik yang seringkali berakhir dengan keganasan.

Impak perubahan iklim terus menjangkau ramalan saintifik dan ia semakin meningkat pada kadar yang membimbangkan dan dijangka bertambah teruk dalam tahun-tahun mendatang.

Menjelang 2050, perubahan iklim dilapor meningkatkan jumlah penduduk kebuluran sebanyak 20 peratus terutama di negara Afrika.

Puluhan juta penduduk dijangka terpaksa meninggalkan kediaman bagi mencari sumber makanan, perlindungan dan pekerjaan kesan akibat perubahan iklim sekali gus mencetuskan krisis pelarian terbesar dunia.

Di antara tahun 2030 dan 2050, perubahan iklim dijangka membunuh 250,000 orang setiap tahun akibat malnutrisi dan pelbagai penyakit selain membahayakan udara bersih, sumber air minuman dan bekalan makanan.Hakikatnya, miskin atau kaya kita semua sedikit sebanyak merasakan kesan perubahan iklim, sebagai sebahagian penduduk dunia marilah kita melakukan yang termampu dalam memelihara ‘kesihatan bumi’ demi masa depan anak cucu.