Marzuki sering disangka Melayu

Marzuki (kanan) bersama rakan sekerja, Mohd Afendi.
Marzuki (kanan) bersama rakan sekerja, Mohd Afendi.
A
A
A

SEKALI pandang, lelaki berketurunan orang asli yang bertugas sebagai anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Marzuki Manan, 31 sering disangka orang Melayu.

Marzuki bukan sahaja mempunyai nama Melayu, malah namanya turut mempunyai perkataan ‘bin’ sebagaimana nama orang Islam.

Marzuki berkata, dia tiada masalah bekerja bersama masyarakat pelbagai kaum kerana semangat perpaduan sudah disemai sejak kecil.

Menurutnya, sejak lahir, dia didedahkan dengan budaya dan masyarakat yang berbeza latar belakang, agama serta keturunan.

“Sejak kecil, saya bersekolah di sekolah harian biasa di Sekolah Kebangsaan Batu 3 yang muridnya pelbagai kaum.

“Semua kaum orang asli dari Sungai Soi bersekolah di situ dan kami didedahkan dengan kepelbagaian kaum serta sedar perlunya sikap cintakan negara.

“Saya tidak kekok bergaul dengan orang Melayu, Cina dan India yang sangat berbeza dari segi amalan hidup serta budaya. Semua keadaan boleh diadaptasi,” katanya.

Katanya, walau berbeza agama dan bangsa tetapi yang penting semuanya rakyat Malaysia mengutamakan perpaduan kaum serta meraikan keunikan daripada kepelbagaian.

Artikel Berkaitan:

Marzuki berkata, walaupun terdapat segelintir masyarakat yang memandang serong terhadap golongan orang asli tetapi tidak pernah membuatnya berasa rendah diri atau patah semangat.

“Ada juga segelintir yang melihat kepada asal-usul untuk berkawan tetapi bagi saya ia tidak sepatutnya berlaku. Kawan rapat saya semua ada, sama ada Melayu, Cina atau India,” katanya.

Marzuki berkata, dia akui masyarakat orang asli agak ketinggalan dalam pendidikan, namun berbeza bagi penduduk perkampungan orang asli Sungai Soi apabila pendidikan menjadi keutamaan.

“Ibu bapa saya sangat mengutamakan pendidikan, malah adik-adik saya melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya.

Semangat cintakan negara

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, penglibatannya sebagai anggota bomba yang bertugas dalam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menanam semangat perpaduan tinggi dalam diri dan mengajar pengalaman berharga untuk

menyemai semangat cintakan negara.

“Saya direkrut di Pusat Latihan bomba Wakaf Tapai pada 2006 dan selepas itu dihantar bertugas di Kuantan sehingga sekarang.

“Ketika latihan di Wakaf Tapai, terdapat pelbagai kaum dan etnik termasuk dari Sabah dan Sarawak.Semuanya baik dan tidak pernah timbul isu perkauman,” katanya.

Kata bapa kepada dua cahaya mata itu, tugasnya sebagai anggota bomba juga membuatkan dia lebih serasi dengan budaya masyarakat majmuk.

“Sewaktu bertugas, kita tidak kisah siapa atau datang dari kaum apa. Yang penting bantuan disalurkan segera dan semuanya kita lakukan dengan sama rata," katanya.

Marzuki berkata, pada mulanya dia tidak tahu isterinya juga orang asli.

Perkenalan kami secara kebetulan dan pada awalnya saya tidak tahu yang dia juga adalah orang asli.

“Nama isteri saya juga berbinti seperti orang Islam dan dia kini bertugas di Tabika Kemas di Kuantan," katanya

Marzuki yang tidak mempunyai agama turut meraikan pelbagai perayaan di negara ini.

“Semua perayaan kami sambut dan pada bulan Ramadan, saya turut berpuasa. Bila tiba hari raya, kami raya, bila sambut Deepavali, Tahun Baru Cina dan Krismas, semuanya kami raikan.

“Biasanya budaya di pejabat juga memang meraikan sambutan setiap perayaan,” katanya.

Bagi memastikan semangat cintakan tanah air disambung, dia turut memberi pendedahan awal kepada anak-anaknya tentang keunikan bangsa dan kepelbagaian Malaysia.

"Anak-anak saya juga bergaul dengan semua masyarakat. Dari segi makanan juga, kami makan semuanya dan langsung tiada masalah,” katanya.