Tiada kenaikan tarif air di NS

Aminuddin (tengah) pada sidang media di Wisma Negeri hari ini.
Aminuddin (tengah) pada sidang media di Wisma Negeri hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan masih lagi berpegang dengan pendirian untuk tidak menaikkan kadar tarif air di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri menyedari kos pengurusan dan operasi bekalan air meningkat setiap tahun, namun ia masih mampu ditanggung Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Katanya, buat masa ini syarikat yang membekalkan air bersih untuk Negeri Sembilan masih mampu bertahan dengan kos penyelenggaraan.

"Sekiranya Kerajaan Pusat memutuskan untuk menaikkan kadar tarif air semasa, Ahli Mesyuarat Exco akan mengadakan perbincangan lanjut mengenainya.

"Tetapi sehingga kini kami masih dengan pendirian untuk tidak menaikkan kadar tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.

Katanya, meskipun kos semakin meningkat dan keuntungan yang diperoleh juga tidak seberapa, namun beliau yakin SAINS mampu bertahan.

Ahad lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kadar baharu tarif air bagi semua negeri dijangka diumumkan hujung tahun ini, setelah mendapat persetujuan jemaah menteri.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu pada 13 Februari lalu, Aminuddin menegaskan bahawa, tiada kenaikan kadar tarif air di negeri ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kepentingan rakyat dan negeri ini.