3,928 orang asli peluk Islam

Syed Ibrahim (tengah) mengetuai pengislaman seramai 47 saudara baharu di Yayasan Pahang hari ini.
Syed Ibrahim (tengah) mengetuai pengislaman seramai 47 saudara baharu di Yayasan Pahang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 3,928 orang asli di negeri ini memeluk agama Islam hasil dakwah pembantu penggerak daripada lulusan Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli Yayasan Pahang (Petama) sejak 2008 hingga Julai lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dakwah yang diberikan pembantu penggerak membantu membuka pintu hati masyarakat orang asli berminat dengan Islam.

“Petama yang diwujudkan oleh Yayasan Pahang pada Mei 1998 lalu diuruskan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) iaitu anak syarikat milik penuh Yayasan Pahang.

"Sehingga kini, UCYP melahirkan seramai 799 pelajar orang asli yang mampu menjadi pemimpin Islam dan ejen perubahan serta pembangunan di dalam masyarakat mereka sendiri," katanya pada majlis pengislaman dan meraikan saudara baru di Yayasan Pahang hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan.

Wan Rosdy berkata, pada hari ini menyaksikan pengislaman seramai 47 orang saudara baharu yang terdiri daripada masyakat orang asli dari Rompin.

Jelasnya, selain itu turut diraikan 21 orang saudara baru yang telah memeluk Islam baru-baru ini yang terdiri daripada Cina, India, Bumiputera Sarawak dan orang asli.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap semua saudara baru dapat meneruskan dan meningkatkan keimanan serta ketakwaan kepada ALLAH SWT pada masa akan datang," katanya.