JAS siasat pembakaran terbuka di Johan Setia

Loy Sian
Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 28 kes pembakaran terbuka di sekitar Johan Setia sedang disiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bagi tindakan penguatkuasaan kepada pelaku bertanggungjawab.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, sehingga 4 September, JAS Selangor telah menjalankan tindakan penguatkuasaan antaranya 30 amaran, lima tawaran kompaun dan dua kertas siasatan ke atas pengusaha dan pemilik tanah terlibat.

Menurutnya, berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, sehingga 4 September, sebanyak 273 aduan pembakaran terbuka diterima melibatkan Daerah Klang.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 38 aduan adalah melibatkan pembakaran terbuka di sekitar kawasan Johan Setia, Klang.

"Rekod JAS Selangor menunjukkan bahawa aduan pembakaran terbuka meningkat pada bulan Mac, Ogos dan awal September 2019 di mana ketika itu cuaca panas dan kering," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, tindakan berkenaan membuktikan kerajaan negeri memandang serius berkaitan masalah jerebu di negeri ini yang menerima tempias dari Sumatera dan Kalimantan di Indonesia.

"Bagaimanapun, pemantauan tetap dijalankan dari semasa ke semasa dalam soal pembakaran terbuka di sini dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menjalankan aktiviti tersebut," katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan dan pemantauan oleh JAS Selangor yang menjalankan rondaan pada setiap hari sejak Februari 2019, aktiviti pembakaran terbuka tersebut berpunca daripada pembakaran kebun, belukar dan sampah-sarap yang menyebabkan keadaan berasap di kawasan sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian kebakaran ini telah mengakibatkan keadaan berjerebu di sekitar kawasan Johan Setia termasuk di Bandar Putera 2, Bandar Puteri, Bandar Parkland, Bandar Botanik dan Bandar Rimbayu.

"Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tertinggi pernah dicatatkan sehingga 4 September bagi Stesen Pemantauan Udara di Sekolah Kebangsaan Johan Setia adalah sebanyak 222 (sangat tidak sihat) pada 2 September, jam 6 petang dan bacaan IPU mula ke paras sederhana (51–100) mulai jam 10 pagi, 4 September," katanya.