Polis, keluarga dikepung dipercayai geng kongsi gelap

No Image Caption
A
A
A

KLANG - [DIKEMASKINI] Seorang pegawai kanan polis dan keluarganya dikepung serta diugut hampir 40 lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ketika sedang makan dalam satu pesta di Kompleks Sukan Pandamaran di sini petang semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, pegawai berpangkat inspektor itu makan di sebuah gerai menjual roti john bersama isteri, anak berusia 2 tahun, ibu mentua dan anak saudara sebelum didatangi lebih 10 lelaki terlibat.

Difahamkan, kumpulan itu mengepung dan mengugut mangsa menggunakan senjata tajam seperti pisau lipat, kerambit kecil serta besi buku lima.

Menurut sumber, inspektor berkenaan yang ketika itu sedang memangku anaknya terpaksa berundur kerana bimbang dengan ancaman tersebut.

"Sambil mengepung mangsa, ahli kumpulan itu turut mengugut mangsa 'Kau nak mati ke, aku bunuh kau sampai mati wei, aku tembak kau bagi mati baru kau tahu. Aku tak hairan dengan kau, aku ada link polis Klang Selatan, IPK Selangor dengan Bukit Aman. Aku pastikan buat kau kena buang kerja. Kau tengok nanti mesti aku tetak kau, ini Klang aku pegang."

Menurut sumber lagi, seramai 30 lagi ahli kumpulan itu telah bersedia di sekeliling mangsa untuk menyerang dengan memegang senjata tajam.

"Kejadian itu disaksikan lebih 50 orang awam dan peniaga di kawasan tersebut.

"Difahamkan, kumpulan itu menyerang mangsa kerana tidak berpuas hati dan menganggap mangsa adalah pemberi maklumat terhadap kegiatan jenayah mereka kepada polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa.

"Berdasarkan siasatan awal, insiden berkenaan tidak ada unsur kongsi gelap.

“Mangsa tidak disentuh atau dicederakan dan siasatan awal mendapati ada berlaku perselisihan faham antara mangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini," katanya.

Menurutnya, susulan insiden itu, seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau kerana merusuh pada 2015," katanya.