Mansuh skim pencen jangan libatkan semua sektor

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa tidak memansuhkan skim pencen perkhidmatan awam membabitkan beberapa lantikan penting dalam beberapa sektor tertentu di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, beberapa jawatan lantikan baharu mengikut kelayakan akademik masih memerlukan skim pencen seperti bidang perguruan dan polis.

"Kerajaan tidak boleh hapuskan semua skim pencen kepada skim kontrak, sebaliknya perlu mengikut kategori (sektor perkhidmatan) tertentu," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Noh menghadiri majlis perkahwinan salah seorang anak penduduk di Sungai Besar di sini kelmarin.

Noh (kanan) menghadiri majlis perkahwinan salah seorang anak penduduk di Sungai Besar kelmarin.
Noh (kanan) menghadiri majlis perkahwinan salah seorang anak penduduk di Sungai Besar kelmarin.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, sektor yang memerlukan latihan seperti guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) mesti dikekalkan skim pencen mereka.

Katanya, bagi mereka berjawatan profesional lain mungkin boleh diberi skim kontrak sekiranya kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan sehingga RM5 bilion setahun.

"Keputusan ini perlu diperhalusi dan perlaksanaannya nanti janganlah melibatkan semua sektor secara keseluruhan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, mekanisme baharu yang menggantikan skim pencen perkhidmatan awam dijangka dilaksanakan tahun depan membabitkan lantikan baharu dalam sektor itu.

Menurutnya, inisiatif yang disasarkan dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun itu bagaimanapun masih perlu diperhalusi dan bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan.