Program 'Malam Islam Bersatu' berjalan lancar

Zakir ketika mengimamkan solat di Masjid Cina Krubong, di sini hari ini.
Zakir ketika mengimamkan solat di Masjid Cina Krubong, di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Penganjuran program 'Malam Islam Bersatu' dianggap berjaya setelah ia berjalan dengan begitu lancar sebaik sahaja Pendakwah Antarabangsa, Dr. Zakir Naik tiba di pekarangan masjid kira-kira jam 7.20 malam tadi.

Kedatangan Zakir disambut ribuan manusia yang menanti kehadiran beliau untuk bersama solat berjemaah Maghrib dan Isyak di Masjid Cina Krubong, di sini, seawal jam 5 petang.

Pada program itu, Zakir berkemeja biru mengimamkan solat Maghrib dan Isyak yang disertai lebih 2,000 jemaah selain Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil mengetuai majlis bacaan Yassin.

Hadir sama pada program itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Melaka yang juga Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Pesuruhjaya Pas negeri, Kamaruddin Sidek.

Tinjauan turut mendapati, beberapa pemimpin BN turut hadir memberikan sokongan kepada penganjuran program itu.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee menggesa semua pihak di Melaka mengikut semangat dan keputusan ketua menteri untuk mengharamkan pendakwah berkenaan daripada berceramah di negeri berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN pertikai program jemput Dr Zakir Naik

Menurut Chee Yee yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, walaupun Zakir tidak berceramah pada majlis itu namun beliau merupakan individu yang menimbulkan kontroversi antara masyarakat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun,Mohd Rafiq yang juga Pengerusi Masjid Cina Melaka, berkata, penganjuran program tersebut tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah aktiviti keagamaan.

Tindakan Mohd Rafiq menjemput Dr Zakir turut tidak disenangi Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew apabila mendakwa, penganjuran program tersebut atas kepentingan politik dan peribadi serta bertindak kononnya untuk menjadi 'wira' dalam memperkasa institusi Islam khususnya di negeri ini.