Operasi haji berjalan lancar - Mohd Na'im

Mohd Na’im (tengah) ketika sidang media pada Majlis Sambutan Ketibaan Penerbangan Pulang Jemaah Haji Malaysia KT014 ke Tanah Air Bagi Musim Haji 1444H/2023 di KLIA Terminal 1 hari ini. - Foto Bernama
Mohd Na’im (tengah) ketika sidang media pada Majlis Sambutan Ketibaan Penerbangan Pulang Jemaah Haji Malaysia KT014 ke Tanah Air Bagi Musim Haji 1444H/2023 di KLIA Terminal 1 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Operasi haji tahun ini yang melibatkan kuota penuh 31,600 jemaah haji Malaysia buat pertama kali dalam tempoh empat tahun, berjalan dengan lancar meskipun berdepan beberapa cabaran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi jemaah haji tahun ini ialah keadaan cuaca yang panas menjangkau 38 hingga 48 darjah Celsius, dan jumlah jemaah mencecah hampir dua juta orang mengerjakan haji di Tanah Suci.

Katanya, beliau bersyukur apabila kumpulan jemaah haji Malaysia mendapat pengiktirafan oleh Arab Saudi sebagai jemaah haji yang berdisiplin dan mempunyai sikap yang baik selain berilmu.

"Kerajaan Arab Saudi juga sekali lagi mengiktiraf Tabung Haji (TH) apabila TH menerima Anugerah Labbaittom bagi Kategori Kepuasan Tertinggi Dalam Perkhidmatan Yang Disediakan Oleh Pejabat Urusan Haji, yang telah saya terima daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui semasa menyambut kepulangan 350 jemaah haji Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Kumpulan jemaah haji itu tiba pada pukul 9.55 malam menerusi penerbangan Saudia Airlines SV5610 yang berlepas dari Jeddah pukul 8 pagi (waktu Arab Saudi).

Sementara itu Mohd Na'im berkata, 70 pesakit masih dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah dan Hospital Arab Saudi, manakala sembilan orang jemaah haji meninggal dunia di Tanah Suci Makkah setakat hari ini, dan beliau bersama pengurusan kanan TH mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga jemaah haji yang telah meninggal dunia di Tanah Suci Makkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (tiga, kanan) beramah mesra bersama para jemaah pada Majlis Sambutan Ketibaan Penerbangan Pulang Jemaah Haji Malaysia KT014 ke Tanah Air Bagi Musim Haji 1444H/2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (tiga, kanan) beramah mesra bersama para jemaah pada Majlis Sambutan Ketibaan Penerbangan Pulang Jemaah Haji Malaysia KT014 ke Tanah Air Bagi Musim Haji 1444H/2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini. - Foto Bernama

Katanya, pihak TH akan mengadakan mesyuarat penutupan dengan pelbagai kementerian dan agensi penyedia perkhidmatan haji di Arab Saudi bagi menilai semula tahap perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan pada Musim Haji tahun ini.

Beliau berkata, antara isu yang akan dibincangkan ialah masalah berkaitan kemudahan di Mina, selain maklum balas yang diterima daripada jemaah haji, yang akan turut dibawa ke meja perbincangan.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, TH akan terus melakukan penambahbaikan perkhidmatannya secara berterusan untuk memastikan kecemerlangan perkhidmatannya.

Beliau berkata 25 inisiatif telah dapat dilaksanakan TH tahun ini, antaranya inisiatif program pendidikan kesihatan kepada jemaah haji melalui ‘Ziarah Rahmah’, Pusat Rawatan TH di Madinah dan perkhidmatan mesin ATM di penginapan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Sebanyak 98 penerbangan menggunakan pesawat Saudia dan AMAL by Malaysia Airlines akan membawa pulang kesemua jemaah haji Malaysia dan petugas-petugas haji secara berperingkat.

Penerbangan terakhir dijangka berlepas pada 31 Julai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdul Aziz di Madinah. - Bernama