'Dahulukan barangan buatan Malaysia'

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

BUTTERWORTH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan orang ramai supaya tidak hanya membeli produk keluaran Bumiputera sahaja sebaliknya mendahulukan kempen membeli barangan buatan Malaysia secara keseluruhannya.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, kempen beli barangan buatan Malaysia itu perlu didokong oleh semua pihak dalam usaha mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni.

"Saya fikir dalam konteks negara kita yang patut kita dahulukan adalah kempen beli barangan buatan Malaysia. Jadi, fokus kita sebagai negara berbilang kaum, untuk memperolehi kehidupan yang harmoni dan memakmurkan negara, kita perlu dokongan semua sekali,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdapat kempen dalam media sosial oleh segelintir pihak supaya memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera dan membeli produk keluaran Bumiputera.

Terdahulu, beliau merasmikan Rumah Ilmu Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kadun) Telok Ayer Tawar dan majlis pelepasan peserta Konvoi Merdeka di sini.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak bersetuju dengan gerakan memboikot itu dan menyifatkan perkara itu hanya dilakukan mereka yang berfikiran cetek.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, tindakan segelintir pihak yang menafikan gerakan memboikot sebaliknya hanya menyokong produk Muslim dilihat tetap mempunyai tujuan sama.

"Mereka ini berubah-ubah, ia bermula sebagai boikot kemudian apabila disanggah dan diberikan jawapan dan rasional kenapa tak perlu ada boikot, maka skripnya itu diubah kepada mengutamakan produk Muslim," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata kertas kerja berkaitan program subsidi petrol bersasar kepada golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah kini menunggu giliran untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri. - Bernama