Sinar Harian, Sin Chew Daily jalin kerjasama

Barisan pengurusan Sinar Harian dan Sin Chew Daily Hussamuddin (depan dari kiri), Ah Lek (depan dari kanan) pada majlis perasmian Wacana Malaysia Selepas 62 Tahun Merdeka dan Kempen #KitalahMalaysia. Belakang dari kiri : Muhammad Nasir, Lee Chin, Sheau Horng, Allen dan Baharom. - Foto ZAHID IZZANI
A
A

PETALING JAYA - Buat julung kalinya, Sinar Harian dan Sin Chew Daily bekerjasama menganjurkan Wacana Perpaduan bertajuk ‘Malaysia Selepas 62 Tahun Merdeka’ di sini semalam.

Wacana menampilkan Ketua AMK, Akmal Nasir; bekas Ahli Parlimen Pandan, Tan Sri Ong Tee Keat; Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran dan penganalisis politik, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Pengacara televisyen, Finaz Yunus bertindak sebagai moderator wacana yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf dan Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Hadir sama, Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Pengarah Editorial Sin Chew Daily, Datuk Pook Ah Lek; Ketua Pegawai Operasi (Kandungan dan Pemasaran) Sin Chew Daily, Tan Lee Chin; Penolong Ketua Editor Sin Chew Daily, Ng Sheau Horng dan Editor Eksekutif (Pemberitaan) Sin Chew Daily, Allen Hun.

Wacana Perpaduan itu adalah sebahagian daripada Kempen Kemerdekaan #KitalahMalaysia selama 17 hari iaitu dari 31 Ogos sehingga 16 September ini yang bertujuan memupuk keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dua agensi media itu juga akan membuat liputan berita mengenai keharmonian antara kaum yang akan disiarkan dalam platform masing-masing.

Selain itu, turut diadakan beberapa aktiviti untuk mempelawa orang ramai meraikan perbezaan dan berinteraksi tanpa mengira kaum dan agama.

Aktiviti-aktiviti tersebut adalah forum terbuka bertemakan perpaduan, penerbitan video dalam talian dan peletakan kerusi panjang di beberapa lokasi tumpuan orang ramai.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia