Kami sudah berdamai: Kakak Asif

Perkongsian di Instagram Syahmi semalam.
Perkongsian di Instagram Syahmi semalam.
A
A
A

KONFLIK hubungan antara Youtuber, Syahmi Sazli dan Muhammad Asyiff Suhaimi atau Asif berakhir apabila kedua-dua pihak telah mengadakan pertemuan selama dua jam, di sini pada Isnin.

Kakak Asif, Siti Nurul Atina Suhaimi, 30, berkata, pertemuan ayah dengan keluarga Syahmi di Kubang Kerian itu berjalan dengan baik dan segala kekeliruan sudah diselesaikan.

Pertemuan dengan Syahmi dan isteri, Anissa Faizul turut disertai Asif dan Yoe Parey itu, telah menemui kata putus agar perselisihan faham sebegitu tidak berulang.

“Semuanya sudah kembali normal. Alhamdulillah, kami sudah saling memaafkan dan semua salah faham sudah diperjelaskan dengan baik. Kami ibarat satu keluarga dan tidak mahu perkara seperti ini berlaku lagi selepas ini.

“Kami pun tidak mahu lagi buka cerita ini. Cukuplah dengan apa yang berlaku sehari dua ini, kami pun tidak mahu baca lagi komen-komen netizen yang masing-masing mempunyai pandangan dan pendapat sendiri.

“Apa yang penting, kami harap semua pihak terutama peminat Asif sendiri doakan terbaik untuk kejayaan Asif dalam setiap langkahnya selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Nurul Atina turut menyifatkan apa yang berlaku mempunyai hikmahnya, malah hubungan kekeluargaan antara mereka jauh lebih baik dan saling hormat-menghormati.

Menjelaskan mengenai kritikan yang diterimanya berhubung urusan mengendalikan akaun Instagram Asif secara peribadi, Siti Nurul Atina memberitahu dia masih lagi perlu memantaunya.

Artikel Berkaitan:

Asif bersama kakaknya, Atina.
Asif bersama kakaknya, Atina.

Keputusan tersebut dibuat setelah mendapat persetujuan daripada Syahmi memandangkan mereka mempunyai kekangan waktu untuk menguruskan akaun tersebut.

“Jadi saya setuju untuk terus pantau dengan bantuan seorang lagi adik lelaki. Sebagai seorang kakak, saya sedih sebab netizen memandang negatif kepada semua tindakan saya terhadap Asif.

“Sedangkan saya yang menjaganya sejak pulang ke Kelantan pada 2016 lalu. Asif sendiri pun pada awalnya kelihatan agak sedih apabila dapat tahu yang tidak lagi boleh berlakon bersama Syahmi.

“Tapi sejak semalam (kelmarin), dia asyik tersenyum saja. Gembira tak terkata. Senyuman itulah menjadi penyeri hidup saya. Apa pun orang kata, saya maafkan mereka. Lantaran mereka tidak tahu dan ini hanyalah masalah dalaman sahaja,” katanya.

Sementara itu, perkongsian gambar di laman Instagram Syahmi mengukuhkan lagi kenyataan bahawa Asif sudah kembali kepada jadual asalnya sebagai pelakon bersama Yoe Parey.

Perkongsian yang ditulis “Insya-ALLAH, esok drama Spontan 11” itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya menunggu apakah kesudahan kemelut yang berlaku antara kedua-dua pihak itu.

Netizen juga tidak melepaskan peluang memberi sokongan kepada Syahmi untuk terus kuat dalam membantu dua insan istimewa itu selain berkongsi perasaan teruja untuk menyaksikan drama terbaru daripada mereka.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan berlaku salah faham melibatkan penjaga Asif dan Syahmi dan mendapat pelbagai reaksi netizen.