Menteri Iran mahu Trump henti ajuk Thanos

No Image Caption
A
A
A

TEHERAN - Menteri Teknologi Maklumat Iran mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen apabila menyamakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan Thanos iaitu watak penjahat angkasa lepas dalam filem Avengers: Endgame.

Mohammad Javad Azari-Jahromi membuat persamaan itu sebagai respons terhadap sekatan terbaharu AS ke atas program angkasa lepas Iran.

"Alam semesta kepunyaan semua orang, bukan terhad kepada pihak tertentu. Berhenti ajuk Thanos, Donald Trump!" katanya di Twitter.

Dalam Avengers: Endgame, Thanos berjaya mengumpul lima Batu Infiniti dan melenyapkan lebih 50 peratus kehidupan termasuk sebahagian besar anggota The Avengers.

Apa pun, carian di Twitter mendapati Jahromi bukan individu pertama menyamakan Trump dengan Thanos.

Semalam, Washington menerusi Jabatan Negara dan Perbendaharaan mengenakan sekatan baharu ke atas program angkasa lepas Iran selepas mendakwa Teheran membangunkan peluru berpandu balistik dengan bertopengkan program itu.

“Hari ini, Jabatan Negara telah meletakkan Agensi Angkasa Lepas Iran dan dua institut penyelidikannya di bawah Arahan Eksekutif 13382 kerana terlibat dalam aktiviti-aktiviti percambahan yang sensitif.

“AS tidak akan membenarkan Iran menggunakan program peluncuran angkasa lepas sebagai topeng untuk memajukan program peluru berpandu balistiknya,” kata Setiusaha Negara AS, Mike Pompeo.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberi amaran kepada komuniti saintifik antarabangsa bahawa berkolaborasi dengan program angkasa lepas Iran boleh menyumbang kepada keupayaan Teheran untuk membangunkan sistem penyampaian senjata nuklear.

AS sekian lama melarang Iran melancarkan roket kerana bimbang teknologi yang digunakan untuk menghantar satelit ke orbit dibangunkan untuk pelancar kepala peledak nuklear.

Teheran menafikan dakwaan AS bahawa ia berselindung di sebalik aktiviti berkenaan untuk membangunkan peluru berpandu balistik di negara yang kaya dengan uranium itu. - Agensi